Mane raih anugerah Pemain Terbaik Liverpool bulan Mac. FOTO REUTERS
Mane raih anugerah Pemain Terbaik Liverpool bulan Mac. FOTO REUTERS
LFC

PENYERANG berbisa, Sadio Mane dipilih sebagai Pemain Terbaik Liverpool (Standard Chartered) untuk bulan Mac.

Pemain jersi 10 itu meneruskan aksi cemerlang sepanjang bulan ini, meledak lima gol dalam lima penampilan sekaligus memastikan Reds kekal dalam saingan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Lima gol itu hadir dalam tempoh seminggu dengan dua jaringan menentang Burnley dan Bayern Munich diikuti gol ke-20 musim ini dalam semua pertandingan ketika menang 2-1 di Fulham.

Menjawab soalan ditanya apakah Mac adalah bulan terbaiknya bersama kelab itu, Mane memberitahu Liverpoolfc.com di Melwood: “Saya boleh mengatakan ia salah satu paling terbaik. Saya gembira memenangi anugerah ini.

“Ia juga salah satu bulan paling cemerlang bagi setiap pemain kerana setiap kami bermain begitu baik dan hampir menang setiap perlawanan. Ia bulan yang hebat.

“Apatah lagi, mendapatnya daripada penyokong adalah sesuatu yang hebat.

“Sekarang, saya perlu mempamer aksi terbaik pada setiap perlawanan untuk menjaringkan gol dan membantu rakan sepasukan untuk memenangi perlawanan.

“Saya sudah tidak sabar untuk menang lebih banyak perlawanan bersama pasukan ini selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 7:57 PM