Penyerang England Rhian Brewster beraksi pada final tewaskan Sepanyol 5-2 di Calcutta. FOTO EPA
Penyerang England Rhian Brewster beraksi pada final tewaskan Sepanyol 5-2 di Calcutta. FOTO EPA
Daily Mail

INGAT nama Rhian Brewster dan jersi no 57.

Bintang muda England itu mengidamkan aksi senior Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas muncul penjaring terbanyak bantu England juara Piala Dunia B-17 mengatasi Sepanyol 5-2 di Calcutta, India, kelmarin.

Pemain muda Liverpool itu menyumbat lapan gol dalam kejohanan itu untuk meraih Anugerah Kasut Emas.

Brewster berbakat selaku pemain penyerang dan penjaring gol. Dia jenis pemain cergas, rajin dan bekerja keras.

Pergerakan menyelinap masuk dan penyudah dalam kotak gol dianggap kelas pertama membolehkannya menjaringkan banyak gol.

Apapun, permainannya lebih penting daripada keupayaan menjaringkan gol.

Dia biasanya diletakkan selaku penyerang utama dan mampu beraksi dengan baik selaku penyerang kedua.

Dalam enam penampilan EPL 2 untuk Liverpool musim ini, dia menjaringkan tiga gol dan membantu empat lagi.

Liverpool membawa masuk Brewster daripada Stamford Bridge tiga tahun lalu.

Dia meninggalkan Chelsea kerana tidak dapat membayangkan akan dapat berada dalam kesebelasan utama kelab itu.

Bercakap kepada LiverpoolFC.com tahun lalu, dia menjelaskan: “Saya berada di Chelsea sejak berumur tujuh tahun hingga 14. Saya kemudian memberitahu mereka saya mahu menilai status saya kerana tidak nampak laluan untuk berada dalam kesebelasan utama The Blues.

“Terdapat beberapa kelab berminat tetapi Liverpool adalah salah satu pilihan dan paling mudah sertai mereka.

“Liverpool memberikan peluang dan perasaan saya bagus bermain bersama kelab ini. Saya sukakan mereka.”

Jurgen Klopp enggan menlepaskan Brewster secara pinjaman dan berkemungkinan mempunyai perancangan menggunakan khidmatnya musim ini.

Dia berada dalam senarai pemain simpanan pada April ketika Reds tewas 2-1 di tempat sendiri kepada Crystal Palace biarpun belum berada dalam senarai pemain skuad sejak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 1:16 PM