FABINHO watak penting Liverpool. FOTO EPA
FABINHO watak penting Liverpool. FOTO EPA
AFP

London: Pertahanan Liverpool, Fabinho menandatangani kontrak panjang bersama kelab Liga Perdana itu.

Bintang antarabangsa Brazil itu adalah pemain kedua dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Jurgen Klopp yang melanjutkan kontrak d Anfield selepas Trent Alexander-Arnold melengkapkan kontrak baharu bulan lalu.

"Saya gembira dapat menandatangani kontrak baharu dengan kelab," kata Fabinho kepada Liverpoolfc.com, dengan media British melaporkan kontraknya akan berakhir sebelum bermulanya musim 2026/27.

"Sejak daripada perbincangan pertama, saya sangat positif mengenainya kerana ia seperti yang saya mahukan iaitu kekal bersama kelab, terus beraksi bersama Liverpool.

"Kini segala-galanya sudah rasmi dan saya sangat gembira sepanjang tiga musim di sini.

"Banyak perkara yang saya belajar daripada pengurus, kakitangan serta rakan sepasukan.

"Kami meraih pencapaian bersama-sama dan bagi saya, Liverpool adalah kelab terbaik untuk terus berkembang serta belajar dari kakitangan dan rakan sepasukan. Harap kami akan memperoleh pencapaian lebih baik selepas ini."

Kontrak lama Fabinho sepatutnya berakhir pada hujung musim baharu ini.

Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Liverpool dari Monaco pada 2018 dan sejak itu melakukan 122 penampilan untuk Reds termasuk membantu kelab memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:36 AM