RIZAL akan bersama pasukan baharu musim depan. FOTO Sabah FC
RIZAL akan bersama pasukan baharu musim depan. FOTO Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pemain sayap Sabah FC, Rizal Ghazali sah meninggalkan skuad Sang Badak selepas menamatkan kontraknya bersama pasukan itu pada musim ini.

Sebelum ini, dia dikhabarkan akan kembali ke Semenanjung selepas selesai perlawanan akhir Liga Super musim ini, namun belum ada kepastian mengenai pasukan baharunya.

Perkembangan mengenai Rizal itu didedahkan sendiri Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee melalui perkongsian di akaun Instagram beliau.

Kim Swee mengucapkan terima kasih kepada Rizal dan seorang lagi pemain yang akan meninggalkan pasukan bimbingannya, Muhammad Irfan Zakaria.

"Ia satu musim panjang dan sukar tetapi sangat bermakna bagi Sabah FC. Walaupun berdepan beberapa cabaran, kita dapat mencapai tempat ketiga dalam Liga Super dan layak lebih awal ke peringkat kalah mati Piala AFC.

"Sebagai jurulatih, saya tahu pemain kelab datang dan pergi dan hari ini saya mengucapkan terima kasih kepada Amri Yahyah, Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria atas perkhidmatan dan komitmen mereka kepada kelab.

"Begitu juga pembantu jurulatih saya, Rastilav Bozik dan jurulatih fizikal, Martin Stano. Tidak dilupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Marzuki yang begitu menyokong sepanjang tempoh saya di sini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada musim yang unik ini," katanya.

Berdasarkan perkongsian Kim Swee itu, tiga pemain Sabah FC termasuk Amri yang bersara daripada arena profesional bola sepak sah tidak lagi bersama skuad Sang Badak tahun depan.

Ahad lalu, tiga pemain sedia ada Sabah FC, Rawilson Batuil dan Umareng Bachok serta pemain import, Ramon Machado menandatangani kontrak baharu selama setahun bersama pasukan.

Secara keseluruhan, seramai 19 pemain Sabah FC pada musim ini kekal bersama pasukan pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 6:04 PM