AMRI Yahyah
AMRI Yahyah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengumumkan pertemuan Sang Badak dengan Kedah Darul Aman malam ini akan menjadi perlawanan terakhir buat pemain senior Mohd Amri Yahyah.

Pemain berusia 42 tahun berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu, katanya mengambil keputusan untuk bersara daripada arena profesional bola sepak selepas perlawanan malam ini.

"Kita akan memberi perpisahan kepada Amri Yahya, di mana beliau akan bersara daripada 'profesional football'. Beliau adalah seorang pemain yang cukup berpengalaman dan saya percaya dengan adanya Amri, pasti para penyokong boleh memberikan sesuatu.

"Ia penting bukan saja pasal Amri tetapi kita inginkan penyokong untuk membantu memberi motivasi lebih kepada pemain apabila berlawan dengan Kedah," katanya.

Bekas pemain kebangsaan dari 2004 hingga 2017 yang mula bersama Sabah pada 2021 itu banyak membantu skuad Sang Badak melakar kemenangan dalam perlawanan yang disertainya.

Beliau berkhidmat paling lama bersama Selangor dari 2001 hingga 2013, sebelum berhijrah ke selatan untuk menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dari 2014 hingga 2016.

Amri kemudian menyertai Melaka United buat seketika pada 2017, sebelum kembali bersama Selangor hingga 2019 dan seterusnya ke Sarawak United pada 2020.

Sementara itu, Kim Swee mengakui pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC dalam aksi akhir Liga Super 2023, di Stadium Likas, malam ini bukan perlawanan yang mudah.

Beliau turut mengakui pasukan dari utara Semenanjung itu memiliki kekuatan tersendiri untuk mempertahankan kedudukan di tangga ketiga carta liga yang diduduki skuad berkenaan ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 9:29 AM