NUNEZ (kiri), Salah (tengah) dan Gakpo masing-masing menjaringkan dua gol ketika membelasah Manchester United 7-0 di Anfield, Ahad lalu. FOTO AGENSI
NUNEZ (kiri), Salah (tengah) dan Gakpo masing-masing menjaringkan dua gol ketika membelasah Manchester United 7-0 di Anfield, Ahad lalu. FOTO AGENSI
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp percaya Liverpool mula menuai hasil daripada perancangan jangka panjang apabila jentera depan berwajah baru mereka memacu kelab untuk menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain yang ditandatangani Januari lalu, Cody Gakpo dan Darwin Nunez, yang dibeli Jun lalu, masing-masing menjaringkan dua gol bersama Mohamed Salah ketika mereka membelasah Manchester United, 7-0, di Anfield, Ahad lalu.

Pada ketika Roberto Firmino, yang menjaringkan satu gol ke atas United, bakal meninggalkan pasukan pada hujung musim ini, hanya Salah kekal daripada jentera depan yang cukup digeruni sebelum ini termasuk Sadio Mane, yang kini bersama Bayern Munich.

Nunez menjaringkan 14 gol musim ini manakala Gakpo menjaringkan empat gol sejak tiba dari PSV Eindhoven, sekali gus mengurangkan kesan ketiadaan Diogo Jota dan Luis Diaz untuk tempoh panjang musim ini.

"Lihat barisan pemain yang kami beli dalam beberapa jendela perpindahan lalu, Luis, Darwin, Cody, pemain yang berada di barisan depan," kata Klopp.

"Saya fikir gandingan Sadio, Bobby dan Mo (Mohamed Salah) pernah muncul sebagai tiga pemain depan terbaik bagi bola sepak dunia.

"Kemudian, Sadio meninggalkan pasukan pada musim panas dan Bobby pada hujung musim ini, jadi hanya Mo yang akan tinggal. Tetapi, kami menggantikan mereka dan Diogo kembali tepat pada masanya.

"Pelaburan itu memang bijak dan bertanggungjawab. Itu yang anda mahu dan apa yang kami perlukan."

Firmino hampir menamatkan tempoh lapan musim di Anfield, tetapi dia memberitahu Klopp mengenai keinginannya menamatkan saingan dengan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kemenangan ke atas pasukan di zon penyingkiran, Bournemouth, hari ini, akan meletakkan mereka dalam kelompok empat teratas sekurang-kurangnya untuk seketika selepas kembali menemui rentak dalam liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 2:00 PM