CRISTIANO Ronaldo (kiri) memandu kereta ketika tiba di Carrington bersama Mendes, semalam. FOTO Agensi
CRISTIANO Ronaldo (kiri) memandu kereta ketika tiba di Carrington bersama Mendes, semalam. FOTO Agensi
Agensi

Manchester: Pengurus lagenda Manchester United, Sir Alex Ferguson mungkin gagal memujuk Cristiano Ronaldo supaya kekal di Old Trafford, musim depan.

Menurut laporan Daily Star, Ferguson, yang menandatangani Ronaldo untuk menyertai kelab itu buat kali pertama pada 2003, berbincang dengan Ronaldo, semalam, mengenai masa depannya selepas bintang Portugal itu mahu meninggalkan kelab kerana ingin bermain di Liga Juara-Juara Eropah.

Fergie, 80, berada di Carrington untuk menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah dan kebetulan Ronaldo pulang semula ke Manchester buat kali pertama sejak hujung musim lalu.

Ronaldo kembali ke Manchester dari Lisbon pada malam isnin bersama ejennya, Jorge Mendes untuk berbincang dengan Erik ten Hag dan pegawai kelab, selepas tidak menghadiri jelajah pramusim kelab kerana masalah peribadi.

Pengurus United berharap Fergie, yang memainkan peranan besar untuk membawa Ronaldo kembali ke kelab pada musim panas lalu, boleh memujuk bintang itu menghabiskan baki 12 bulan dalam kontraknya bernilai £500,000 (RM2.68 juta) seminggu itu.

Ia adalah langkah terakhir United, yang terus menyatakan Ronaldo bukan untuk dijual dan tidak akan meninggalkan pasukan.

Tetapi, ikon Portugal itu tidak mahu meneruskan komitmen semusim lagi dengan United dan mahu mencari kelab baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Pemain berusia 37 tahun itu memberitahu United, dia mahu meninggalkan pasukan pada awal musim panas kerana tidak yakin pasukan itu cukup bagus untuk bersaing merebut trofi utama.

Hakikat dia tidak berlatih bersama rakan sepasukan dan hadir bersama Mendes menunjukkan mereka sedang mencari jalan untuk meninggalkan United.

Ronaldo tiba di Carrington pada 11 pagi semalam bersama Mendes di tempat duduk penumpang sebelum dilihat meninggalkan ibu pejabat itu pada 4.45 petang, tetapi melalui pintu belakang.

Tidak dapat dipastikan sama ada Mendes berada di dalam keretanya pada ketika Ronaldo dilihat memandu keseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 11:13 AM