WAJAH Ronaldo tertera di luar Stadium Old Trafford. FOTO AFP
WAJAH Ronaldo tertera di luar Stadium Old Trafford. FOTO AFP
AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan Cristiano Ronaldo akan membuat penampilan kali pertama bersama Manchester United sejak perpindahannya dari Juventus apabila Newcastle berkunjung ke Old Trafford, malam ini.

Bintang Portugal itu kembali ke United menerusi perpindahan mengejut sebelum jendela perpindahan pemain ditutup.

Penyerang berusia 36 tahun itu yang meninggalkan United untuk menyertai Real Madrid pada 2009, sudah menjalani latihan bersama rakan sepasukannya sejak beberpa hari lalu.

Pengurus United, Solskjaer mengesahkan Ronaldo akan beraksi untuk sekurang-kurangnya sebahagian perlawanan Liga Perdana dengan Newcastle tetapi tidak dapat dipastikan sama ada pemenang anugerah Ballon d'Or itu akan bermula dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan.

"Dia melalui aksi pra musim yang bagus dengan Juventus. Dia beraksi bersama pasukan kebangsaan dan melalui minggu yang baik bersama kami," kata Solskjaer.

"Dia pasti akan beraksi di atas padang untuk beberapa ketika, itu sudah pasti."

Ronaldo memenangi tiga gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara sepanjang bersama United sebelum terus menyinar bersama Real dan Juventus.

Statusnya sebagai antara pemain terbaik di dunia tidak perlu dipersoalkan namun United hampir terlepas untuk mendapatkannya semula selepas Manchester City terlebih awal mahu menandatanganinya.

Ronaldo berkata, hubungannya dengan bekas pengurus United, Alex Ferguson memainkan peranan penting untuk meyakinkannya kembali semula ke Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 8:08 AM