PEMAIN Barcelona, Raphinha (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menang 6-0 ke atas Inter Miami di Stadium DRV PNK. FOTO AFP
PEMAIN Barcelona, Raphinha (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menang 6-0 ke atas Inter Miami di Stadium DRV PNK. FOTO AFP
AFP

Miami: Raphinha memulakan penampilan sulung bersama Barcelona dengan menjaringkan satu gol dan dua bantuan jaringan ketika gergasi Sepanyol itu memulakan satu daripada empat aksi jelajah Amerika Syarikat (AS) dengan membelasah Inter Miami, 6-0, hari ini.

Pemain Brazil itu yang dipancing dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United dengan harga AS$60 juta (RM267.18 juta) pada awal bulan ini, menjanjikan prestasi baik bersama kelab barunya menerusi gol pada babak pertama, selepas Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan kelab La Liga itu di depan di Stadium Drv Pnk.

Pada ketika pemain baharu, Robert Lewandowski tidak beraksi sebelum diperkenalkan secara rasmi di Miami, hari ini selepas menyelesaikan perpindahan dari Bayern Munich, Raphinha, 25, menjadi tarikan dan memberikan keterujaan kepada penyokong Barcelona.

Raphinha membuat kemunculan sulung bersama Andreas Christensen, yang meninggalkan Chelsea pada hujung musim lalu dan mereka mempamerkan aksi menarik ketika menentang pasukan Phil Neville itu.

Seperti dijangka, Barcelona menguasai perlawanan menentang kelab MLS itu dan bekas penyerang Arsenal, Aubameyang membuka jaringan pada minit ke-15 sebelum Raphinha menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-25.

Raphinha kemudian mengumpan kepada Ansu Fati untuk merembat masuk dari jarak dekat dan menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat.

Gavi, Memphis Depay dan Ousmane Dembele menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan 6-0 pada perlawanan berat sebelah itu.

Selepas ini, Barca akan menentang Real Madrid, Juventus dan New York Red Bulls sebelum musim baharu La Liga bermula pada 12 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 11:09 AM