RAPHINHA (dua dari kiri) menyertai latihan bersama rakan sepasukan di Turin, Itali, menjelang Piala Dunia.
RAPHINHA (dua dari kiri) menyertai latihan bersama rakan sepasukan di Turin, Itali, menjelang Piala Dunia.
Reuters

Turin: Pemain sayap Brazil dan Barcelona, Raphinha berkata, Piala Dunia adalah saat terbaik untuk membawa perasaan kebersamaan bagi rakyat Brazil sambil mengimbas kejayaan menjulang trofi pada 2002.

Raphinha yang membuat kemunculan pertama bersama Brazil pada Oktober 2021, akan tampil ke Piala Dunia sulung di Qatar 2022.

"Saya bersedia untuk ke Piala Dunia dan bekerja keras untuk ke sana sebaik mungkin sama ada secara fizikal dan mental," kata Raphinha dalam temu bual disiarkan Barca, hari ini.

"Suasananya adalah pasukan kebangsaan yang mahu menang, bercita-cita tinggi dan mahu menjulang gelaran. Itu adalah suasana sangat baik dalam pasukan.

"Saya tidak nampak tekanan, skuad Brazil selalunya pencabar di Piala Dunia atau gelaran lain apabila kami beraksi.

"Permintaan tinggi daripada pasukan perkara biasa kerana kami adalah pasukan berkualiti tinggi dengan nama besar."

Raphinha menyertai Barcelona pada Julai lalu dari kelab Liga Perdanda Inggeris (EPL), Leeds United untuk mengikuti jejak langkah ramai pemain ternama Brazil seperti Romario, Ronaldo, Ronaldinho dan Neymar di Nou Camp.

"Memang biasa jika penyokong bimbang dan berharap Brazil menang Piala Dunia kali keenam, begitu juga dengan kami," kata pemain berusia 25 tahun itu sambil mengimbas kemenangan 2-0 ke atas Jerman di Jepun, 20 tahun lalu, menerusi dua gol Ronaldo.

"Saya tidak begitu ingat mengenai Piala Dunia 2002 kerana sangat kecil ketika itu. Tetapi, ia adalah perasaan menakjubkan dan sukar digambarkan. Semua rakyat Brazil berpelukan dan bersatu.

"Sekarang adalah saat terbaik untuk kami bersatu semula."

Raphinha yang memiliki 11 caps dan lima gol antarabangsa termasuk tiga di kelayakan Piala Dunia, berharap Brazil dapat mengulangi kejayaan 2002 iaitu rekod gelaran dunia kelima.

Brazil yang berada dalam Kumpulan G memulakan kempen menentang Serbia pada 24 November diikuti Switzerland dan Cameron.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 8:39 AM