TAESU  (tengah) meraikan gol keduanya bersama rakan sepasukan  di Stadium Likas, malam ini. STR/Mohd Adam Arinin
TAESU (tengah) meraikan gol keduanya bersama rakan sepasukan di Stadium Likas, malam ini. STR/Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sabah FC kembali bangkit mengutip tiga mata selepas menumpaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Kemenangan itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaan penyokong Sabah berikutan kekalahan 1-2 skuad Sang Badak di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang sama, Jumaat lalu.

Kedua-dua gol Sabah malam ini dijaringkan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu menerusi tandukan tajam pada minit ke-71 dan ke-72.

TFC sebelum itu mendahului 1-0 menerusi jaringan Manuel Gelito Ott yang mendapat hantaran bola ketika keadaan kelam kabut di hadapan gawang Sabah pada masa tambahan separuh masa pertama.

Ott mudah menolak bola ke gawang Sabah tanpa dapat dihalang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menaikkan semangat pemain TFC untuk beraksi lebih agresif sejurus bersambung babak kedua.

Sabah bagaimanapun tetap cuba bertahan dan mencuri peluang melakukan serangan sebelum akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi tandukan tajam Taesu yang menyambut bola dari sepakan sudut dilakukan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Taesu sekali lagi membuktikan tandukannya sukar dihalang penjaga gol TFC apabila mendapat peluang menanduk bola hasil sepakan percuma Baddrol pada minit ke-78 sekali gus membolehkan Sabah menang 2-1.

Dengan kemenangan itu Sabah FC kekal di tangga kedua Liga Super dengan 25 mata hasil daripada 12 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 10:48 PM