BADDROL Bakhtiar (kanan) diasak oleh PKNP FC, Filemon Anyie Standly (kiri) pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. FOTO AMRAN HAMID
BADDROL Bakhtiar (kanan) diasak oleh PKNP FC, Filemon Anyie Standly (kiri) pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. FOTO AMRAN HAMID
Izzali Ismail


KEDAH membuktikan ramalan apabila berjaya menewaskan PKNP FC dengan keputusan 4-1 pada saingan peringkat suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.

Kemenangan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak dengan agregat 6-2 ini melihatkan impian yang diiringi semangat kental pemain Kedah untuk melangkah ke peringkat separuh akhir kini tercapai.

Dalam pertemuan sengit dihadapan 12,641 penyokong setia, PKNP memulakan aksi serangan berbahaya melalui larian solo Yashir Pinto hampir menolak masuk bola ke gawang Kedah selepas mendapat hantaran dari bahagian tengah namun tolakannya berjaya ditampan keluar oleh pertahanan Renan Alves.

Kedah menceriakan suasana di Stadium Darul Aman apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi rembatan padu pemain sayap Farhan Roslan yang mendapat peluang terbaik di hadapan gawang dengan menewaskan pengaja gol PKNP Shafiq Afifi.

Selang dua minit Kedah berjaya menambah gol kedua melalui percubaan pemain import kelahiran Argentina Jonatan Bauman selepas menerima hantaran cantik daripada Farhan dari ruang sebelah kanan gawang PKNP.

Terkesan dengan dua gol dibolosi, PKNP cuba bangkit memburu gol dan hampir menggegar gawang Kedah dihujung babak pertama apabila percubaan pemain pertahanan Syazwan Zaipol sekadar singgah di palang selepas melepasi jangkauan Hadi Hamid.

Bermula babak kedua PKNP terus berusaha memburu gol melalui percubaan oleh pemain import Giancarlo Lopes pada minit ke-59 yang merembat tepat kearah gawang Kedah namun penjaga gol Abdul Hadi lebih bersedia menyelamatkan keadaan.

Pemain kacukan Malaysia-Australia David Rowley menambah derita skuad kendalian Abu Bakar Fadzim dengan gol tandukan pada minit ke-71 bermula darinhantaran sepakan sudut oleh Baddrol Bakhtiar.

Tidak berputus asa PKNP bangkit mendapatkan gol pertama melalui sentuhan Mukhairi Ajmal pada minit ke-80 selepas membuat larian pantas ke sebelah kanan gawang Kedah dengan menewaskan Abdul Hadi.

Dihujung babak perlawanan, pemain muda dan licik Kedah Fayadh Zulkifli melengkapkan malam gemilang buat Kedah apabila menyumbangkan gol keempat selepas mendapat lorongan daripada Fernando Rodriguez dengan menyaksikan keputusan Kedah 4-1 PKNP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 11:45 PM