Pemain Import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (kanan) pada perlawanan Liga Super diantara Kedah Menentang Melaka United, di Stadium Darul Aman.
Pemain Import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (kanan) pada perlawanan Liga Super diantara Kedah Menentang Melaka United, di Stadium Darul Aman.
Izzali Ismail


KEDAH bangkit merampas tiga mata apabila menyudahkan aksi perlawanan ke-14 Liga Super dengan kemenangan selepas menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Darul Aman malam tadi.

Dua gol yang dihasilkan Kedah berjaya membawa skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini kembali ke tangga ketiga liga selepas gagal mempertahankannya pada perlawanan bertemu Selangor Rabu lalu.

Pada aksi penuh bersemangat ini, Kedah memulakan percubaan melalui pemain muda Fayadh Zulkifli yang hampir membuka gol pertama namun percubaannya berjaya dihalang keluar oleh pertahanan Melaka.

Semangat Lang Merah yang mahu mencari gol awal tersekat apabila kesempatan sepakan percuma yang diperolehi pihak lawan pada minit ke-31 tidak disia-siakan Safiq Rahim dan disudahi dengan tandukan oleh penyerang Luka Mikunovic untuk gol pembukaan.

Kedah cuba bangkit mencari gol pada hujung babak pertama melalui pemain import Jonatan Bauman yang menerima umpanan Baddrol Bakhtiar, namun hantaran itu gagal disambar kemas Bauman yang berdepan corak disiplin oleh benteng pasukan Melaka.

Bermula babak kedua, Kedah meneruskan usaha pada minit ke-54 dengan percubaan Farhan Roslan yang menerima hantaran Fernando Rodriguez dari ruang kanan pintu gol Melaka United namun percubaan Farhan agak lemah dan tersasar ke kiri pintu gol lawan.

Penantian gol Kedah berakhir pada minit ke-60 apabila bola hantaran Jonatan Bauman yang singgah ke ruang kiri pintu gol Melaka dimanfaatkan dengan tandukan cantik menewaskan penjaga gawang Melaka Khairul Fahmi Che Mat.

Serangan bertali arus tuan rumah banyak mencemaskan kubu Melaka selepas motivasi gol pertama yang dihasilkan Baddrol Bakhtiar.

Melaka terus tertekan apabila Kedah berjaya menambah gol kedua melaui sentuhan Farhan Roslan pada minit ke-71 yang membawa bola ke kekawasan penalti dan percubaan liciknya gagal ditampan kemas oleh benteng Melaka Jang Sukwon yang tertolak bola ke gawang sendiri.

Kedudukan 2-1 kekal hingga ke hujung perlawanan menyaksikan Kedah kembali menyaingi kedudukan tiga pasukan teratas Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:10 AM