LEE Tuck muncul wira Kedah ketika mengalahkan Sabah. FOTO Ihsan Kedah Darul Aman FC
LEE Tuck muncul wira Kedah ketika mengalahkan Sabah. FOTO Ihsan Kedah Darul Aman FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memanfaatkan kelebihan di laman sendiri apabila berjaya menundukkan Sabah FC dengan jaringan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Dengan kemenangan ini skuad Sang Kenari naik satu anak tangga ke tangga keempat sekali gus mencapai hasrat pengendalinya Nafuzi Zain yang mahu memastikan Kedah mencatat keputusan positif.

Tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Sang Badak melalui pemain import Gabriel Perez pada minit ke-7 selepas berjaya menanduk masuk bola hasil dari sepakan bebas yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar.

Kedah cuba bangkit memburu gol selang dua minit selepas itu dengan percubaan penyerang importnya, Willian Lira namun tersasar.

Sabah yang bersemangat selepas mendahului satu gol menerima kejutan apabila pemain importnya, Jailton Da Silva mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa diusung keluar dan dibawa ke hospital apabila bertembung dengan pemain pertahanan, Bojan Ciger.

Kedah yang terus memburu gol akhirnya berjaya memecah kebuntuan hasil jaringan Lee Tuck pada minit ke-40 selepas menyambar bola yang dihantar Hidalgo di dalam kotak penalti.

Kedah sekali lagi mendapat peluang keemasan di hujung babak pertama melalui percubaan kapten, Manuel Ott namun percubaannya itu berjaya ditepis keluar penjaga gawang Sabah, Damien Lim dan kedudukan terikat itu kekal hingga tiupan wisel penamat separuh masa pertama.

Kembali dengan aksi babak kedua, Kedah akhirnya berjaya menambah gol melalui jaringan keduan Lee Tuck pada minit ke-71 yang merembat bola hasil tandukan keluar kurang kemas pertahanan Sabah.

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat perlawanan yang menyaksikan Kedah meraih tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 11:13 PM