FAM belum menerima kata putus daripada Maloney yang ketika ini sedang bercuti di negara kelahirannya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
FAM belum menerima kata putus daripada Maloney yang ketika ini sedang bercuti di negara kelahirannya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih lagi menunggu respon daripada pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney sama ada menerima tawaran untuk terus membimbing skuad muda negara ataupun tidak.

Maloney yang berasal dari Australia nyata sudah melakukan tugas cukup cemerlang selaku jurulatih skuad B-23 negara terutama kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbeskistan pada Jun tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima kata putus daripada Maloney yang ketika ini sedang bercuti di negara kelahirannya.

"Brad Maloney kita belum dapat keputusan lagi kerana beliau pun balik terus (ke Australia) untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Kita masih belum dapat pengesahan daripada beliau lagi.

"Beliau memang tahu pasal kontraknya yang akan habis, kita kena bagi notis (tawaran). Kita tunggu beliau pasal beliau sekarang tengah bercuti," katanya di mana kontrak Maloney akan berakhir pada 31 Disember ini.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan pasukan B-23 tahun bagi mengharungi jadual padat tahun depan, Saifuddin akui skuad muda negara itu akan menyertai empat kejohanan besar iaitu Piala AFF B-23, Sukan Sea Vietnam, Piala AFC B-23 dan Sukan Asia di Hangzhou, China.

"B-23 ini banyak program tahun depandi mana ia akan bermula seawal bulan Februari dengan menyertai Piala AFF B-23. Selepas itu mereka akan ke Sukan Sea dan seminggu selepas itu, tak silap saya mereka akan ke Piala AFC.

"Banyak di situ program tahun depan dan akhir sekali mereka akan bermain di Sukan Asia pula di China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 2:45 PM