PEMAIN skuad B-16 AFF tekun menjalani latihan.
PEMAIN skuad B-16 AFF tekun menjalani latihan.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad B-15 kebangsaan, P Maniam menegaskan enam pemain B-14 di dalam kem latihan pusat untuk Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 dari 18 hingga 22 September 2019 di Vientiane, Laos perlu mempamer kualiti tinggi jika berhajat mewakili negara.

“Pada pemerhatian saya, seorang atau dua pemain B-14 ini sememangnya ada kualiti untuk bersama skuad B-15. Mereka pernah berlatih dengan saya sebelum ini. Tapi paling penting mereka perlu tunjukkan kebolehan sebenar dan buktikan mereka berbaloi buat pasukan,” katanya.

Maniam mengulas senarai 30 pemain yang dipanggil menjalani latihan skuad B-15 yang akan bermula Ahad ini.

Menurut Maniam, Malaysia diundi bersama juara tiga kali, Jepun, Kemboja dan Laos di dalam Kumpulan J.

“Kita tidak boleh fokus kepada Jepun saja kerana Kemboja dan Laos juga pasukan kuat. Dalam perlawanan dengan Laos sebelum ini, kita hanya berjaya jaringkan gol dalam 15 minit terakhir. Saya menonton rakaman perlawanan Kemboja yang amalkan corak bertahan dan ini menyukarkan pemain negara menembusi benteng mereka.

“Strategi kita fokus setiap perlawanan dan mesti menang dengan Kemboja dalam perlawanan pertama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penting untuk skuad negara memiliki pemain rajin, berkualiti dan pintar membuat keputusan di padang termasuk ketika menghantar bola, membuat percubaan dan sebagainya.

Berdasarkan senarai dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), empat pemain B-14 iaitu Ariff Safwan Mohd Safri, Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, Muhammad Akid Mohd Zamri dan Muhammad Nur Zharif Zaini tersenarai dalam 30 pemain, manakala dua lagi, Rohisham Haiqal Hashim dan Muhammad Abu Khalil menduduki senarai simpanan.

Skuad negara akan mengadakan dua perlawanan antarabangsa menentang skuad B-15 Mongolia pada 6 dan 9 September di Stadium Mini Shah Alam sebagai persiapan.

Kempen bermula dengan menentang Kemboja pada 18 September diikuti Laos (20 September) dan Jepun (22 September) di Stadium Nasional Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 6:00 AM