TOBY Alderweireld raikan gol Belgium. -FOTO EPA
TOBY Alderweireld raikan gol Belgium. -FOTO EPA
AFP

Paris: Belgium mempamerkan aksi mengagumkan apabila membelasah Poland 6-1 untuk memenangi perlawanan Liga Negara-Negara di Brussels awal pagi tadi.

Belgium yang sebelum ini tewas dalam perlawanan pembukaan kepada Belanda namun membalas dengan persembahan yang penuh meyakinkan meledakkan lima gol dalam masa 30 minit.

"Ia membawa emosi tambahan apabila anda tewas menentang lawan dan ia pasti menjadi pendorong malam ini," kata jurulatih Belgium Roberto Martinez.

"Ketika menentang Belanda kami pasif, menunggu dan berasa tidak selamat. Tapi kini kami adalah satu pasukan dan bukannya individu.

Belgium bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan apabila pelawat mendahului perlawanan selepas 28 minit ketika penyerang Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-22 untuk kelab dan negara tahun ini.

Penyerang Bayern Munich itu mengawal hantaran Piotr Zielinski di udara dan kemudian melepasi Simon Mignolet.

Tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Axel Witsel tiga minit sebelum rehat dan mendahului permainan hasil jaringan minit ke-59 Kevin de Bruyne.

Pemain gantian Leandro Trossard meledak dua kali dalam tempoh tujuh minit disusuli jaringan antarabangsa pertama Leander Dendoncker (m-83) dan gol minit terakhir Lois Openda yang dimasukkan Martinez ketika permainan berbaki enam minit.

Belgium kini di tangga kedua di bawah Belanda dalam saingan Kumpulan A4, dan mengatasi Poland berdasarkan perbezaan jaringan.

Dalam saingan Piala Dunia Qatar November ini, Belgium diundi bersama Kanada, Maghribi dan naib juara 2018 Croatia. Poland berdepan Mexico, Arab Saudi dan Argentina

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 9:01 AM