Bintang Maghribi, Hakim Ziyech beraksi cemerlang berdepan Belgium. FOTO AFP
Bintang Maghribi, Hakim Ziyech beraksi cemerlang berdepan Belgium. FOTO AFP
Reuters

Doha: Pemain gantian, Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal memastikan kemenangan pertama Piala Dunia dalam tempoh 24 tahun buat Maghribi selepas melakar kejutan ke atas Belgium 2-0 pada saingan Kumpulan F, Piala Dunia.

Peminat Maghribi memberikan suasana klasik Piala Dunia di Stadium Al Thumama dan sepakan percuma Sabiri berjaya menewaskan Thibaut Courtois sebelum Aboukhlal meledak gol pada minit kecederaan untuk meletakkan Maghribi di kedudukan teratas Kumpulan F dengan empat mata, satu mata mengatasi Belgium.

Ia adalah kemenangan pertama Maghribi di Piala Dunia sejak menewaskan Scotland pada 1998. Mereka meninggalkan kejohanan 2018 dengan hanya satu mata.

"Kami menjaringkan gol pada detik yang tepat. Kami berhak untuk menang. Selepas 70 minit permainan sebahagian pemain kami nampak keletihan, tetapi cara penyokong memberi sokongan di belakang kami amat membantu. Mereka membuatkan kami lebih bersemangat." kata pemain terbaik perlawanan Hakim Ziyech.

Belgium mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kanada pada perlawanan pembukaan mereka, tampil bergelut mempamerkan aksi terbaik seterusnya membayangi pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga 2018 dan melonjak ke tangga kedua ranking dunia.

Mereka kini terpaksa bersaingan untuk slot 16 terakhir menentang Croatia.

"Ia adalah keputusan sukar. Kami mungkin dapat rentak permainan. Ia perlawanan yang kami harus fahami, kami harus berkerja sama dan memberi maklum balas. Itu apa yang berlaku di Piala Dunia," kata jurulatih Belgium, Roberto Martinez.

Persembahan buruk skuad 'Red Devils' turut memaksa Martinez memasukkan Romelu Lukaku bagi 10 minit terakhir permainan dalam usaha memperoleh mata, sekalipun penyerang prolifik itu sebelum ini bergelut dengan kecederaan hamstring.

Maghribi kelihatan mempunyai kelebihan sebelum waktu rehat selepas jaringan Ziyech menerusi sepakan percuma dinafikan kerana ofsaid.

Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne nampak bergelut mempamerkan prestasi terbaik manakala Eden Hazard gagal memainkan peranan di barisan serangan selepas dikawal ketat oleh pemain Maghribi.

Beberapa percubaan merbahaya dilakukan Maghribi untuk meningkatkan peluang menghasilkan jaring di luar kotak penalti namun percubaan mereka tersasar sejurus babak kedua bermula.

Belgium yang kelihatan hilang punca untuk menjaringkan gol dan menyebabkan Martinez membawa masuk Youri Tielemans dan Dries Mertens menggantikan Amadou Onana dan Eden Hazard.

Kemasukan Mertens memberi impak segera sehingga sehingga memaksa El Kajoui, yang menggantikan Yassine Bounou beberapa minit sebelum sepak mula menyelamatkan percubaan lawan.

Pemain gantian Maghribi, Sabiri memecah kebuntuan jaringan pada minit ke 73 menerusi sepakan percuma sama seperti jaringan yang tak dikira pada babak pertama, ketika Courtois hanya mampu menolak bola ke dalam jaring gol.

Aboukhlal kemudian memanfaatkan hantaran Ziyech dengan merembat ke arah gawang gol ketika stadium gamat dengan sorakan penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 12:54 AM