PEMAIN Sri Pahang FC, Muhamad Nor Azam (kanan) diasak pemain Sarawak United FC, pada saingan Liga Super 2022, di Stadium Darul Makmur, malam tadi. FOTO Farizul Hafiz Awang
PEMAIN Sri Pahang FC, Muhamad Nor Azam (kanan) diasak pemain Sarawak United FC, pada saingan Liga Super 2022, di Stadium Darul Makmur, malam tadi. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Biarpun mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang malam tadi, ketua jurulatih Sarawak United, B Satiananthan masih belum berpuas hati dengan prestasi sebenar skuad itu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, skuad itu perlu lebih agresif dan mantap jika mahu bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman.

"Berdasarkan prestasi pada perlawanan ini (malam tadi), masih banyak yang perlu dipertingkatkan terutama daripada segi penguasaan bola.

"Bagi saya penguasaan bola masih kurang dan pemain perlu lebih bersemangat untuk meletakkan Sarawak United pada kedudukan terbaik," katanya.

Mengulas kemenangan ke atas Sri Pahang, Satiananthan tetap memuji komitmen dan semangat juang yang dipersembahkan anak buahnya.

Katanya, walaupun keletihan, pemainnya berjaya memberikan persembahan menyakinkan terutama pada babak kedua perlawanan.

"Bermain 11 pemain berbanding tuan rumah dengan 10 pemain, ia memberi kelebihan kepada kami dan pemain berjaya mencatatkan kemenangan.

"Sebenarnya, babak kedua pemain baru mendapat rentak dan berjaya menjaringkan dua gol untuk mengutip tiga mata.

"Namun, kesilapan sama masih dilakukan bahagian pertahanan apabila Sri Pahang berjaya menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

"Saya harap kesilapan ini tidak diulangi lagi pada perlawanan akan datang," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Sarawak United bangkit pada babak kedua apabila menjaringkan dua gol, masing-masing satu oleh Nur Shamie Iszuan Amin dan Uche Agba pada minit ke-54 dan 72.

Gol tunggal Sri Pahang dijaringkan penyerang import, Manuel Hidalgo pada minit ke-45.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 12:21 PM