BENZEMA tetap berbisa walaupun berpuasa.
BENZEMA tetap berbisa walaupun berpuasa.
Agensi

London: Karim Benzema mengatasi pencapaian Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dan kini muncul pemain kedua paling tua menjaringkan lebih 40 gol semusim.

Benzema menghidupkan peluang Real Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara dengan meledak dua gol termasuk penalti Panenka pada lewat permainan yang menyaksikan mereka tewas 3-4 kepada Manchester City.

Jaringan bintang Perancis itu yang ke-41 dalam semua kejohanan musim ini untuk Real Madrid sekaligus menyamai rekod Ferenc Puskas pada 1962.

Benzema melakukannya pada usia 34 tahun empat bulan manakala Puskas berusia 35 tahun tiga bulan ketika meledak 41 gol.

Cristiano Ronaldo menjaringkan 40 gol untuk Los Blancos dalam satu musim ketika berusia 33 tahun pada 2017/18 manakala kali terakhir Messi melakukannya ketika berusia 32 tahun di Barcelona musim selepas itu.

Kedua-dua bintang gagal mengulanginya sejak itu dengan Messi hanya mampu menjaringkan sembilan gol musim ini untuk Paris Saint-Germain.

Benzema pemain Real Madrid kelima menjaringkan lebih 40 gol selain Ronaldo, Puskas, Hugo Sanchez dan Alfredo di Stefano dalam senarai Hall of Fame.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 11:22 PM