PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo. FOTO AFP
PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo. FOTO AFP
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo percaya sepakan guntingnya ketika meledak gol bersama Real Madrid menentang Juventus musim lalu lebih berkualiti berbanding jaringan Mohamed Salah yang memenangi anugerah Puskas 2018.

"Salah layak menang anugerah Puskas, ia adalah gol yang baik. Tetapi baik kita bersikap jujur, jangan menipu diri sendiri, gol saya adalah lebih baik,” kata Ronaldo kepada 142 juta pengikutnya di Instagram.

Selain anugerah Gol Terbaik Puskas, bintang Portugal berusia 33 tahun itu turut tewas kepada bekas rakan sepasukannya di Real, Luka Modric bagi anugerah Pemain Terbaik Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). 

Salah memenangi anugerah berkenaan menerusi jaringan lencongnya ketika Liverpool menewaskan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris Disember lalu.

“Saya tidak kecewa, kehidupan memang seperti itu, kadang kala kamu menang dan kadang kala kalah, apa yang menarik perhatian saya ialah sepanjang 15 tahun dalam bola sepak saya dapat mengekalkan prestasi yang sama,” kata Ronaldo.

“Anugerah adalah anugerah... Banyak yang sudah saya menangani. Saya bermain untuk menang dan bukan untuk anugerah.”

Begitupun, komen Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus itu hadir lima hari selepas anugerah berkenaan berlangsung di London dan ironinya, dia tidak menghadiri majlis berkenaan.

“Tahniah kepada semua orang, kepada Modric, pemain terbaik dunia menurut FIFA.”

Ronaldo meledak gol akrobatik berkenaan pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Juventus dan kemudian menyertai kelab gergasi Itali itu sebulan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 11:32 PM