LEWANDOWSKI menyokong tindakan negaranya. FOTO Agensi
LEWANDOWSKI menyokong tindakan negaranya. FOTO Agensi
AFP

Warsaw: Poland tidak akan beraksi pada playoff Piala Dunia 2022 bertemu Rusia di Moscow 24 Mac ini berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine, kata Presiden Persekutuan Bolasepak Poland, hari ini.

Konflik membabitkan kedua-dua negara itu memasuki hari ketiga sejak pemimpin utama Rusia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan secara besar-besaran yang sudah membunuh berpuluh-puluh orang.

Ia juga memaksa lebih 50,000 penduduk melarikan diri dari Ukraine dalam masa 48 jam serta mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih meluas di Eropah.

"Masa untuk perbincangan sudah berakhir. Kini masanya untuk bertindak.

"Disebabkan peningkatan pencerobohan Rusia di Ukraine, pasukan Poland tidak akan beraksi pada perlawanan playoff menentang Rusia," tulis Cezary Kulesza sambil menambah ia adalah keputusan paling tepat.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Sweden dan Republik Czech untuk menunjukkan kebersatuan mereka kepada Fifa.

Tiga persekutuan itu mengeluarkan kenyataan bersama pada Khamis lalu menuntut Fifa menukar aksi playoff mereka di Rusia yang empat tahun lalu baru sahaja menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Kapten Poland, Robert Lewandowski mengalu-alukan tindakan tegas pihak persekutuannya.

"Keputusan yang tepat," tulis bintang Bayern Munich itu di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 7:31 PM