MORENO optimis pasukan akan kembali bangkit sebaik kempen Piala Dunia di Qatar bermula. FOTO Agensi
MORENO optimis pasukan akan kembali bangkit sebaik kempen Piala Dunia di Qatar bermula. FOTO Agensi
Reuters

Mexico City: Pertahanan tengah Mexico, Hector Moreno menyifatkan perlawanan pertama Piala Dunia menentang Poland sebagai kunci utama buat pasukan itu untuk sekurang-kurangnya mengutip empat dalam peringkat kumpulan dan layak ke pusingan 16 terbaik.

Mexico yang turut akan bermain menentang Argentina dan Arab Saudi dalam Kumpulan C mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat mereka selepas tewas di tangan Sweden dalam aksi pemanas badan terakhir, kelmarin.

Bagaimanapun, Moreno, 34, optimis pasukan akan kembali bangkit sebaik kempen Piala Dunia di Qatar bermula.

"Saya melihat perlawanan menentang Poland sebagai kunci, bukan kerana Argentina adalah pasukan terbaik (dalam Kumpulan C) atau Arab Saudi paling teruk seperti yang dikatakan, tetapi kerana ia adalah perlawanan pertama dan memenangi tiga mata pertama peringkat kumpulan memberi anda kelebihan untuk layak," kata Moreno kepada stesen penyiaran Mexico TUDN menjelang aksi pembukaan pada Selasa ini.

"Terdapat situasi di mana anda layak dengan empat mata. Ia akan menjadi satu langkah yang bagus untuk layak ke fasa seterusnya, ia adalah perlawanan penting, diharapkan kami dapat melakukannya."

Moreno, berkata Poland adalah pasukan yang berbahaya kerana memiliki ramai pemain yang berbakat termasuklah penyerang, Robert Lewandowski yang dilihat berada pada tahap prestasi terbaiknya menjelang kempen Piala Dunia kali ini.

"Mereka adalah lawan yang sangat berbakat, kami hanya bercakap tentang Lewandowski kerana dia adalah pemain bintang, tetapi mereka adalah pasukan yang sangat lengkap dengan pemain yang bermain dalam liga dan pasukan besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:40 AM