Agensi

London: Bekas penyerang Manchester United, Teddy Sheringham percaya kekurangan kepimpinan dalam kelab itu antara masalah yang menjadi penyebab kekalahan kepada Manchester City, Ahad lalu.

United tewas 1-4 di Etihad Stadium mencetuskan tuduhan bahawa pemain menyerah kalah apabila memasuki babak kedua.

Sheringham yang merangkul tiga gelaran Liga Perdana bersama kelab ketika di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Liga Juara-Juara yang membawa kemenangan ke atas Bayern Munich pada 1999.

"Saya pernah berada dalam situasi itu. Ia membuatkan anda putus harapan apabila pasukan seperti itu terus mendominasi anda.

"Tapi saya pernah berada di dalamnya yang mana wujud serpihan dalam pasukan dan kelab.

"Apabila anda bermain menentang pasukan seperti Manchester City mereka akan mencari setiap lubang kecil untuk mencerobohi anda. Mereka akan terus mencari dan cari.

"Semua orang berusaha keras untuk menghalangnya dan kemudian mereka akan keluar dan mencari lagi. Mereka terus mendesak anda.

"Anda lihat Manchester City, mereka dipimpin oleh seorang lelaki terkemuka yang mengabdikan dirinya untuk menjadikan Manchester City lebih baik. Yang terbaik mereka boleh lakukan.

"Apabila anda melihat Manchester United, mereka melantik pengurus interim (Ole Gunnar Solskjaer), kemudian mereka memecatnya. Mereka kemudian melantik seorang lagi pengurus interim, apa yang sedang berlaku di kelab bola sepak terbaik ini? Apa yang sedang berlaku?

Sementara itu perpecahan makin dirasai dalam bilik persalinan Manchester United ketika kelab itu mahu layak ke Liga Juara-Juara dengan beberapa pemain tidak gembira dengan Ralf Rangnick dan pemilihan pemain olehnya.

The Manchester Evening News menamakan Eric Bailly dan Marcus Rashford sebagai dua pemain yang semakin kecewa dengan kehidupan di bawah Rangnick sambil mendakwa ada bintang United melabelkan seorang pemain sebagai 'pemain kesayangan' kerana sering bermain di bawah kendalian pengendali Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 11:29 AM