RANGNICK (dua kiri) akui tidak gembira dengan pencapaian United. FOTO AFP
RANGNICK (dua kiri) akui tidak gembira dengan pencapaian United. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick berkata, dia tidak menyesal menggalas tugas itu di Old Trafford tetapi pengendali dari Jerman itu tidak berpuas hati dengan pencapaian pasukannya setakat ini.

United hanya memenangi tiga daripada 12 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan berada di tangga ketujuh Liga Perdana, enam mata di belakang pasukan di tangga keempat yang juga tempat terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara ketika berbaki tujuh perlawanan.

Rangnick menyertai United selaku pengendali sementara pada November tahun lalu berikutan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer dan berjaya membimbing pasukan itu meraih sembilan kemenangan dalam 22 perlawanannya setakat ini.

"Tidak, tidak menyesal apa-apa," katanya kepada pemberita menjelang perlawanan liga di tempat sendiri menentang Norwich City, malam ini.

Jelas Rangnick lagi: "Saya akan melakukannya berulang kali. Saya tidak menyesal sama sekali. Sebagai pengurus, anda sentiasa perlu mempersoalkan apa yang anda boleh lakukan dengan lebih baik tetapi saya tidak menyesal.

"Kita semua sedar ia bukan tugas yang mudah dan keseluruhan situasi agak sukar. Jika tidak, saya tidak akan berada di sini dan Ole mungkin masih kekal.

"Kami sudah menunjukkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dapat meningkatkan tahap prestasi pemain tetapi tidak seperti apa yang saya harapkan.

"Itulah sebabnya saya tidak gembira langsung dengan apa yang kami capai setakat ini."

Rangnick, 63, akan menjadi pengurus sementara sehingga penghujung musim sebelum memegang jawatan sebagai perunding kelab itu untuk dua tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 11:51 AM