NIGUEZ (kanan) meraikan jaringannya bersama Lukaku. FOTO Reuters
NIGUEZ (kanan) meraikan jaringannya bersama Lukaku. FOTO Reuters
AFP

London: Chelsea terselamat daripada mimpi ngeri untuk melangkah ke suku akhir Piala FA apabila menewaskan Luton 3-2 di tempat lawan hari ini, hanya beberapa jam selepas Roman Abramovich mengesahkan kelab itu akan dijual.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel beraksi pada pusingan kelima di Kenilworth Road dengan dibayangi pengumuman Abramovic itu.

Jutawan Rusia itu mengambil keputusan untuk menjual Chelsea berikutan kebimbangan beliau boleh disekat oleh kerajaan Britain ketika negaranya melakukan pencerobohan ke atas Ukraine.

Abramovich, yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, akan memberikan keuntungan bersih daripada penjualan itu kepada mangsa perang Ukraine, dengan harga yang dimintanya bermula pada £3 bilion ().

Pada aksi hari ini, Chelsea ketinggalan sebanyak dua kali sebelum Romelu Lukaku menjaringkan gol kemenangan.

Ditanya mengenai penjualan kelab itu, Tuchel berharap tidak banyak berlaku perubahan dalam menguruskan kelab itu.

"Kami mendengar khabar angin itu. Kami bukan tinggal di pulau. Sudah tentu kami mengadakan perbincangan dalam pasukan dan mereka bercakap mengenainya.

"Ia adalah berita besar. Kita tunggu dan lihat dan mengharapkan yang terbaik. Dalam jangka masa singkat, bagi kami sebagai satu pasukan, harap tidak terlalu banyak yang akan berubah.

"Kami cuba ketepikan segala isu ini dan kekal fokus yang mana ia bukan mudah. Kami menunjukkan bahawa kami mampu melakukannya," kata Tuchel kepada BBC selepas tamat perlawanan.

Reece Burke meletakkan Luton di depan minit ke-2 sebelum Saul Niguez menyamakan kedudukan untuk Chelsea minit ke-27.

Chelsea sekali lagi ketinggalan minit ke-40 selepas Harry Cornick menjaringkan gol untuk Luton namun Timo Werner kembali menyamakan kedudukan minit ke-68 sebelum Lukaku mengesahkan kemenangan Chelsea 10 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 7:47 AM