ABRAMOVICH memutuskan untuk menjual Chelsea selepas 19 tahun berikutan konflik Rusia dan Ukraine. -FOTO Reuters
ABRAMOVICH memutuskan untuk menjual Chelsea selepas 19 tahun berikutan konflik Rusia dan Ukraine. -FOTO Reuters
AFP

London: Thomas Tuchel menegaskan bahawa tiada keperluan untuk panik mengenai masa depan Chelsea selepas pengumuman dramatik Roman Abramovich yang akan menjual kelab Liga Perdana itu berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Jutawan Rusia yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Vladimir Putin, berkata demi 'yang terbaik' untuk juara bertahan Liga Juara-Juara itu beliau memutuskan hubungan selepas 19 tahun memiliki kelab berkenaan.

Abramovich tidak disenaraikan dalam senarai sekatan British yang semakin meningkat yang menyasarkan bank, perniagaan dan orang kaya Rusia berikutan serangan Putin ke atas Ukraine minggu lalu.

Namun pemilik berusia 55 tahun itu bimbang mengenai kemungkinan rampasan asetnya oleh pihak berkuasa UK yang mencetuskan langkah untuk menjual kelab London, Chelsea.

ABRAMOVICH hadir menyaksikan perlawanan Chelsea. -FOTO Reuters
ABRAMOVICH hadir menyaksikan perlawanan Chelsea. -FOTO Reuters

Blues dilaporkan menerima beberapa bidaan dengan jutawan Switzerland Hansjoerg Wyss dan pembesar American Todd Boehly menubuhkan konsortium manakala jutawan Turki, Muhsin Bayrak menjadi individu terbaharu menyertai tawaran itu.

Tuchel, yang mengetuai Chelsea meraih gelaran Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab sejak tiba pada Januari 2021, berkata kekal di Stamford Bridge "amat sempurna" buatnya walaupun situasi tidak menentu.

Pengendali dari Jerman itu yang bercakap menjelang pertemuan dengan kelab Liga Perdana yang sedang bergelut, Burnley, dia tidak berhubung secara terus dengan Abramovich sejak pengumuman itu, namun terkejut.

"Pemilik mahu menjual kelab dan dia menjual kelab yang memiliki struktur terbaik, organisasi terbaik dan kini saya tidak melihat kenapa kami perlu bimbang dengan apa yang terjadi kerana ia sudah terbaik, diuruskan dengan bagus dan sangat berfungsi," kata bekas pengendali Paris Saint-Germain itu.

"Satu penghormatan bekerja di sini dan saya sudah ada di sini sejak setahun lalu, dan saya boleh katakan ia berada di tahap tertinggi yang pernah saya rasakan. Kami akan memiliki pemilik baharu tetapi adakah itu bermakna organisasi ini dipersoalkan mengenai strukturnya? Saya tidak rasa begitu."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 7:52 AM