PEMAIN PIB FC, merayakan kemenangan selepas menewaskan Perlis United FC dengan jaringan 3-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
PEMAIN PIB FC, merayakan kemenangan selepas menewaskan Perlis United FC dengan jaringan 3-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Kehilangan kapten Azmizi Azmi akibat kecederaan lutut pada awal separuh masa pertama dilihat antara penyebab kelab Perlis United FC tewas 0-3 di tempat sendiri kepada kelab dari Selangor, Persada Integriti Bersatu Football Club (PIB FC) dalam saingan Kumpulan B Liga Malaysia Divisyen 3 (M3) di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini semalam.

Pengendali Perlis United FC, Azizul Abidin berkata, kecederaan Azmizi ternyata menjejaskan sedikit rentak terutama di bahagian pertahanan dalam mengekang serangan daripada PIB FC.

"Saya tidak mahu meletakkan kehilangan Azmizi itu sebagai alasan kekalahan kita malam ini tetapi memang itu antara faktornya kerana kita boleh lihat rentak pertahanan jadi lain terutama dalam mengekang asakan lawan.

"Namun penggantinya (Azizi Matt Rose) sudah lama tidak beraksi dalam aksi kompetitif dan hanya pada malam ini baru diturunkan jadi ia mengambil sedikit masa bagi dirinya untuk mendapat rentak.

"Dalam separuh masa kedua, kita lihat Azizi sudah berjaya mendapat rentaknya semula berjaya mengawal pertahanan dengan baik dalam memastikan PIB FC tidak mampu membuat percubaan berbahaya ke pintu gol kita," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Katanya, jaringan pertama PUB FC itu tidak sepatutnya berlaku kerana seolah tiada pemain Perlis United FC yang menghalang tandukan pemain lawan.

"Gol pertama itu adalah free header dan tak sepatutnya boleh berlaku free header kerana ia seolah tiada sesiapa yang mengawal pemain lawan untuk melakukan tandukan berkenaan.

"Seharusnya ada pemain kita yang mengawal pemain berkenaan daripada melakukan tandukan berkenaan sehingga menghasilkan gol," katanya.

Selain Azmizi, Perlis United FC juga kehilangan beberapa pemain seperti penyerang Muhammad Afiq Azmi akibat kecederaan semasa perlawanan pembukaan menentang Real Chukai FC di Kemaman, Terengganu minggu lalu selain tiga pemain yang sedang menjalani kuarantin kendiri sebagai kontak rapat kepada individu positif iaitu Mohd Ikmal Ibrahim, Mohd Hafiz Abu Bakar dan Mohammad Farhan Mustafa.

Sementara itu, bagi pengendali PIB FC, K Ramachandran, kemenangan yang kedua ini adalah sangat penting bagi pasukannya dalam memastikan misi untuk ke Liga Perdana musim hadapan dapat dicapai.

"Kemenangan ini sangat penting bagi kita di tambah pula kita bermain di tempat lawan jadi tiga mata itu adalah misi kita dan saya lihat pemain berjaya melaksanakan apa yang dikehendaki terutama dari segi penguasaan hantaran bola.

"Malah, apa saya lihat pemain juga berjaya menyerap tekanan terutama bertandang di tempat lawan ini dengan bermain secara tenag dan tidak tergopoh dalam mengawal pertahanan tatkala serangan balas dilakukan oleh Perlis United FC," katanya.

Dalam perlawanan itu, gol PIB FC dijaringkan oleh Muhammad Hadi Mohammad, Muhammad Huzaini Muhammad Ikhram dan Muhammad Fa'es Hafize Mohd Fadzil pada minit ke-18, 38 dan 85.

Dengan kemenangan ini, PIB FC berada di tangga kedua dengan enam mata dari dua kemenangan manakala Perlis United FC pula menghuni tangga ketujuh dengan satu mata hasil.

Perlis United FC dijangka akan bertemu dengan Bukit Tambun FC dari Pulau Pinang pada 26 Februari di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar jam 8.45 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 5:42 PM