Skuad KL City FC. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Skuad KL City FC. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) bakal mengorak langkah ke depan apabila bakal menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab ternama dunia dalam masa terdekat.

Perkara itu diakui pemilik pasukan, Azri Azerai di laman Twitternya selepas melakukan kunjungan ke dua kelab Korea Selatan, Gwangju dan FC Seoul baru-baru ini.

Azri yang juga Pengarah Rinani Group Berhad yang menjadi pemilik KL City akui beliau tertarik untuk berkerjasama dengan kelab luar negara bagi mengembangkan lagi jenama skuad The City Boys ke peringkat antarabangsa.

Malah, banyak manfaat yang bakal diraih KL City hasil kerjasama itu termasuklah dari segi perkongsian kepakaran babitkan aspek latihan dan fasiliti pasukan.

Ujarnya, antara kelab yang bermain difikirannya termasuklah pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga, Serie A mahupun Ligue 1.

Kelab dari Asia juga berada dalam radarnya antaranya liga K-League 1 dan J1 League.

"Kita akan berusaha mewujudkan hubungan rasmi dengan sekurang-kurangnya satu pasukan dari liga-liga utama seperti EPL, La Liga, Ligue 1, Serie A, K-League 1 dan J1 League," katanya.

KL City antara kelab terbaik Liga Malaysia (Liga M) ketika ini di mana pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada 2021 lalu.

Malah, pada musim lalu anak buah Bojan Hodak itu hampir melakar sejarah di peringkat Asia apabila mara ke pentas final Piala AFC, namun terpaksa akur apabila tewas kepada Al Seeb dari Oman dengan 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 4:35 PM