AFP

Paris: Ketika Paris Saint-Germain melakukan persiapan berdepan Real Madrid bagi saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini, kelab Perancis itu berharap kejayaan dalam pertembungan itu akan membantu meyakinkan Kylian Mbappe untuk kekal berbanding berpindah ke ibu kota Sepanyol.

Masa akan menentukan kontrak penyerang memenangi Piala Dunia itu di Paris yang akan tamat pada Jun, lima tahun selepas dia menyertai mereka dari Monaco dengan perjanjian bernilai 180 juta Euro (RM855 juta).

Difahamkan PSG menolak beberapa tawaran daripada Real pada Ogos lalu bagi mengekalkan Mbappe untuk sekurang-kurangnya semusim lagi dan menggandingkannya di barisan serangan bersama Lionel Messi dan Neymar.

Ia membuktikan wang bukan objektif utama bagi kelab pemilik Qatar itu. Sebaliknya ia kelihatan seperti faktor wang juga tidak mampu meyakinkan Mbappe, yang berusia 23 tahun, untuk kekal di Parc des Princes.

Bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe. FOTO AFP
Bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe. FOTO AFP

Pemburuan Real terhadap bintang Perancis itu bermula sejak zaman remajanya dan mereka menjemput dia dan ibu bapanya dalam satu perlawanan di Santiago Bernabeu malah berpeluang bertemu Zinedine Zidane di gelanggang latihan mereka.

Dia memilih untuk menandatangani kontrak bersama Monaco kemudian menyertai PSG pada 2017 sekalipun tetap dikaitkan dengan perpindahan ke Real.

Mbappe menjadi penjaring terbanyak di Ligue 1 dalam tempoh tiga musim lalu dan sekalipun persaingan daripada Messi, dia masih kekal sebagai pemain PSG paling menyerlah pada kempen musim ini.

Jumaat lalu, dia meledak gol kemenangan berdepan Rennes untuk mencatat 21 gol musim ini, lebih daripada dihasilkan gabungan Messi, Neymar, Angel Di Maria dan Mauro Icardi.

"Dia sudahpun diiktiraf antara pemain terhebat dalam sejarah PSG," kata kapten pasukan, Marquinhos kepada stesen penyiaran TF1.

Apabila ditanya sama ada dia cuba memujuk Mbappe untuk kekal, tambahnya: "Sudah pasti."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 11:13 AM