Mbappe (kanan) dan Lewandowski bersama trofi yang dimenangi masing-masing. FOTO Agensi
Mbappe (kanan) dan Lewandowski bersama trofi yang dimenangi masing-masing. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Bintang Perancis dan Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe dianugerahkan Pemain Terbaik Tahunan pada Majlis Anugerah Dubai Globe Soccer.

Penyerang berusia 23 tahun itu, mengatasi pemenang enam kali, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Mohamed Salah, Karim Benzema dan Robert Lewandowski.

Pada majlis anugerah edisi ke-12 yang berlangsung di Hotel Armani itu, Lewandowski, Ronaldo dan Ronaldinho antara pemain yang turut mendapat pengiktirafan.

Mbappe mendahului senarai penjaring Ligue 1 musim lalu dengan 27 gol ketika PSG menamatkan saingan di tangga kedua di belakang Lille dan membantu Perancis menang Liga Negara-Negara UEFA.

"Adalah satu penghormatan untuk sekali lagi berada di Dubai," kata Mbappe.

"Gembira melihat semua pemain besar di sini, legenda dan nama besar dalam bola sepak.

"Ia pencapaian besar buat saya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Paris Saint-Germain, yang percaya kepada saya selama lima tahun ini, malah lebih bagus musim ini.

"Buat pasukan kebangsaan saya, kepada mereka yang tiada siapa tahu bekerja untuk saya, mereka yang banyak membantu saya. Juga kepada keluarga saya, mereka sentiasa bersama saya."

Lewandowski, 33, pula memenangi Anugerah Diego Maradona dan Anugerah Peminat pada majlis sama.

Penyerang Poland itu muncul penjaring terbaik sepanjang tahun apabila meledak 69 kali bersama juara Jerman itu pada 2021.

Sementara sensasi Manchester United, Ronaldo memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman manakala pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci dinobatkan Pertahanan Terbaik Tahunan.

Chelsea pula menerima Anugerah Kelab Bola Sepak Terbaik Lelaki dan juara Eropah, Itali pula dinobatkan Pasukan Kebangsaan Terbaik Tahunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 10:06 AM