MBAPPE mahu tinggalkan PSG. FOTO Agensi
MBAPPE mahu tinggalkan PSG. FOTO Agensi
Agensi

London: Real Madrid menawarkan perpindahan sensasi untuk mendapatkan Kylian Mbappe yang dilaporkan memberitahu Paris Saint-Germain bahawa dia mahu meninggalkan Parc des Princes.

Masa depan bintang Perancis bersama gergasi Ligue 1 itu menimbulkan tanda tanya sejak kehadiran Lionel Messi di ibu kota Perancis.

Real yang sekian lama berminat dengan bekas pemain Monaco itu mula mengintai peluang selepas perpindahan Messi dan menurut talkSPORT, Los Blancos sedia membida £137 juta (RM792 juta) untuk mendapatkan pemenang Piala Dunia itu.

Baru-baru ini, Mbappe, 22, menolak tawaran kontrak lanjutan susulan perjanjian lamanya tamat musim panas akan datang dan memberitahu PSG dia mahukan cabaran baharu.

PSG boleh menjual mesin gol mereka itu bagi menyeimbangkan kewangan selepas mendapatkan Messi terutamanya apabila kontrak Mbappe tamat musim panas depan.

Tetapi presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi, percaya Mbappe tiada alasan untuk tidak terus kekal di kelab itu.

Katanya: "Saya fikir semua orang tahu masa depan Kylian, penyokong di Paris dan pemain sendiri. Dia pemain yang kompetitif. Dia mahu kemenangan, menjulang trofi dan itu yang diperkatakannya kepada umum.

"Dia mahukan pasukan paling kompetitif di dunia, jadi tiada alasan untuk dia meninggalkan kelab ini.''

Penyokong PSG berharap Mbappe terus kekal dan bermain bersama Messi yang mengimpikan gandingan dengan pemain Perancis itu dan bekas rakan sepasukan di Barcelona, Neymar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 8:30 AM