MOURINHO (kiri) menunjukkan tiang gol yang mempunyai kekurangan dari segi ketinggian. FOTO Agensi
MOURINHO (kiri) menunjukkan tiang gol yang mempunyai kekurangan dari segi ketinggian. FOTO Agensi
AFP

London: Tottenham Hotspur terpaksa meminta tiang gol ditukar sebelum kelab itu mencatat kemenangan 3-1 ke atas Shkendija untuk mara ke pusingan akhir kelayakan Liga Europa, awal pagi tadi.

Son Heung-min dan Harry Kane menjaringkan gol dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan bagi menempah pertemuan dengan Maccabi Haifa untuk aksi playoff akhir, minggu depan.

Mourinho, berkata penjaga golnya menyedari sebelum perlawanan bahawa tiang gol itu kurang lima sentimeter dari segi ketinggian berbanding saiz sebenar.

"Saya fikir saya yang semakin membesar tetapi selepas itu baru saya sedar tiang gol itu adalah lima sentimeter lebih rendah.

"Penjaga gol menghabiskan masa mereka berada di tiang gol, jadi mereka tahu apabila itu bukan saiz yang sebenar. Kami meminta delegasi Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk melakukan pemeriksaan dan mereka mengesahkan ia lima sentimeter lebih rendah.

"Akhirnya, kami meminta tiang gol ditukar mengikut saiz yang sebenar," kata Mourinho menerusi keterangan gambar yang dimuat naik di laman sosial, Instagram dengan beliau dilihat hampir menyentuh palang gol berkenaan.

Mourinho hanya meletakkan Kane di bangku simpanan daripada enam pertukaran yang dilakukan ketika menewaskan Southampton 5-2 Ahad lalu, tetapi terpaksa membawa masuk kapten England itu selepas Valjmir Nafiu berjaya memadam gol pendahuluan Spurs yang dijaringkan Erik Lamela pada awal permainan.

Heung Min yang menjaringkan empat gol pada pertemuan dengan Southampton sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya apabila dia meledak gol kedua Spurs bagi meletakkan kelab itu kembali mendahului pada minit ke-70.

Kane melengkapkan kemenangan Spurs apabila menjaringkan gol ketiga selepas menanduk masuk bola hantaran daripada Heung Min pada minit ke-79.

Sementara itu, AC Milan nyata tidak terkesan biarpun turun tanpa penyerang, Zlatan Ibrahimovic yang disahkan positif Covid-19 apabila berjaya menewaskan Bodo Glimt 3-2 di San Siro.

Celtic pula terpaksa menunggu hingga minit akhir perlawanan sebelum melakar kemenangan 1-0 ke atas Riga di Latvia menerusi jaringan Mohamed Elyounoussi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 11:25 AM