HEUNG-MIN (putih) dikawal ketat pemain lawan. -FOTO APF
HEUNG-MIN (putih) dikawal ketat pemain lawan. -FOTO APF
AFP

London: Son Heung-min mempamerkan aksi cemerlang selepas digugurkan apabila penyerang Korea Selatan yang di masukkan dari bangku simpanan meledakkan gol bagi memastikan kemenangan 2-0 Tottenham ke atas West Ham.

Heung-min bergelut musim ini dengan prestasi buruknya meyakinkan pengendali Tottenham Antonio Conte untuk meletakkannya di bangku simpanan pada aksi Liga Perdana Inggeris itu.

Sebelum diturunkan semalam, pemain berusia 30 tahun itu hanya menjaringkan gol dalam empat perlawanan musim ini.

Namun Heung-min membuktikan kepada Conte ketika dia keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kedua Tottenham selepas Emerson Royal meletakkan tuan rumah di hadapan pada separuh masa kedua.

Gol kesembilan Heung-min dalam semua pertandingan musim ini menyamai hatriknya ketika menentang Leicester pada September lalu yang mana dia turut digugurkan dan kemudian dimasukkan sebagai pemain gantian.

"Tiada sesiapa mahu duduk di bangku simpanan tetapi ia adalah keputusan yang perlu anda terima. Keputusan sentiasa dibuat oleh pengurus dan saya perlu terima," kata Heung-min.

"Saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan. Saya mendapat peluang dan saya gembira dapat menjaringkan gol. Hantaran sangat baik dan sentuhan pertama saya menjelmakan gol," kata Heung-min.

Kemenangan itu melonjak Tottenham ke tangga keempat, satu mata mengatasi Newcastle yang bermain kurang satu perlawanan.

Conte masih belum kembali bersama pasukan susulan pembedahan pundi hempedunya, dengan penolong jurulatih, Cristian Stellini mencorak permainan mengikut arahan pengendali itu yang masih berada di Itali.

Ia adalah kemenangan penting buat Spurs, yang dibelasah Leicester pada hujung minggu lalu sebelum tewas 1-0 di tangan AC Milan dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 8:37 AM