DZULFAHMI mahu melonjakkan nama Negeri Sembilan dalam Liga M musim ini. FOTO Ihsan NSFC
DZULFAHMI mahu melonjakkan nama Negeri Sembilan dalam Liga M musim ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain tengah, Dzulfahmi Abdul Hadi berharap penampilannya buat kali kedua bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025, lebih menyerlah.

Pemain kelahiran Kelantan ini pernah bersama skuad Hobin Jang Hobin pada musim 2019 dalam saingan Liga Perdana.

Dia berazam untuk membantu pasukan baharunya itu melakar pencapaian lebih baik sama ada dalam saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

"Saya ingin membalas kepercayaan kelab yang menerima saya dalam pasukan Negeri Sembilan dan akan berusaha memberikan sumbangan terbaik bagi membantu pasukan melakar kejayaan.

"Saya yakin dan percaya menerusi gandingan pemain baharu dan berpengalaman dalam pasukan ini, kami mampu memberikan cabaran terkuat dengan pasukan ternama lain dalam Liga M serta seterusnya mencapai kedudukan lebih baik dalam liga," kata Dzulfahmi, hari ini.

Dzulfahmi yang membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC merangkul kejuaraan Piala Cabaran musim lalu dan kali ini dia berharap dapat menjulang nama Negeri Sembilan.

"Musim kedua bersama Negeri Sembilan memudahkan saya membentuk persefahaman dan keserasian dengan pemain lain," katanya yang berharap dapat membarisi kesebelasan terbaik pasukan berkenaan.

Dzulfahmi merupakan salah seorang pemain yang dibentuk oleh Sime Darby FC apabila diserap oleh Ismail Zakaria dalam skuad Piala Presiden 2012, menghabiskan enam musim dengan pasukan sebelum ke Felcra FC pada musim 2018 dan seterusnya ke Negeri Sembilan.

Prestasi cemerlangnya menarik perhatian Kuala Lumpur City FC pada tahun 2021 namun gagal mendapat minit permainan yang banyak ekoran saingan sengit dalam pasukan.

Dia kemudian tampil bersama Kelantan dengan melakukan 11 penampilan disusuli membantu PDRM meraih pencapaian yang memberangsangkan dengan berada di tempat kelapan Liga Super, musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 5:35 PM