SARKUNAN (tengah) berjanji memainkan peranan berkesan jika diturunkan ketika Negeri Sembilan menentang Selangor FC dalam Liga Super, di Paroi, Selasa ini. FOTO Ihsan NSFC
SARKUNAN (tengah) berjanji memainkan peranan berkesan jika diturunkan ketika Negeri Sembilan menentang Selangor FC dalam Liga Super, di Paroi, Selasa ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain tengah Negeri Sembilan FC (NSFC) K Sarkunan bertekad membantu memastikan sasaran pasukannya untuk melakar kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini, dapat direalisasikan, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa ini.

Meskipun bakal berhadapan dengan pasukan gergasi, Selangor FC, yang juga bekas pasukannya, namun dia yakin rakan-rakan dalam pasukan itu akan bekerja keras memastikan kebangkitan pasukan lawan dapat disekat.

"Memang kita sedari, Selangor memiliki reputasi besar di pentas Liga Malaysia (Liga M) dan barisan pemain yang mereka miliki juga bukan calang dan dilihat ramai yang berpengalaman serta perlu diberikan perhatian serius.

"Saya jangka kami tidak akan berhadapan laluan mudah kerana Selangor juga mahukan kemenangan selepas mereka seri dengan Kuala Lumpur City FC, pada aksi pertama.

"Namun, kami sudah bersedia dengan segala ramuan untuk meneruskan perjuangan dengan misi mendapatkan kemenangan. Kami akan bekerja keras memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri," katanya di sini, hari ini.

Sebagai bekas pemain Selangor, Sarkunan akui skuad Hobin Jang Hobin perlu berhati-hati dengan strategi pasukan lawan itu yang sudah tentu tidak mahu tercicir mata dan sedang memburu kemenangan pertama musim ini.

Pemain berasal dari Kajang berusia 25 tahun itu berkata, berdasarkan pengalamannya, pemain Negeri Sembilan perlu fokus terhadap jentera serangan Selangor yang dilihat boleh memberikan ancaman.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya lihat Selangor mempunyai gerakan yang baik di bahagian tengah dan serangan. Kami perlu berhati-hati dengan kelibat pemain mereka seperti Safuwan Baharudin dan Ifedayo Olesegun," katanya.

Dalam pada itu, Sarkunan berharap dia dapat beraksi pada perlawanan itu nanti selepas tidak diturunkan ketika menentang Sabah FC pada aksi pembuka tirai Liga Super, di Kota Kinabalu, sebelum ini.

Katanya, dia akan berusaha memberikan persembahan yang lebih baik berbanding ketika mewakili Selangor untuk membantu Negeri Sembilan mencipta kejayaan dalam Liga M musim ini.

"Itu janji saya ketika saya bersetuju menyarung jersi pasukan ini untuk membina kekuatan baharu bersama Negeri Sembilan dan berharap dapat membantu pasukan ini meraih kejayaan khususnya dalam Liga Super musim ini," kata pemain itu yang bersama Selangor selama sembilan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 8:34 PM