HAMIDIN akan meneliti cadangan yang dikemukakan Tunku Ismail selaku mantan Presiden FAM. FOTO OWEE AH CHUN
HAMIDIN akan meneliti cadangan yang dikemukakan Tunku Ismail selaku mantan Presiden FAM. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ambil serius dan akan meneliti pandangan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kegagalan skuad kebangsaan pada saingan Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau menghormati dan menghargai pandangan serta cadangan Tunku Ismail atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu yang diluahkannya dalam satu temubual di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

"Saya menjunjung kasih kepada TMJ dan akan meneliti cadangan yang dikemukakan baginda selaku mantan Presiden FAM berhubung kegagalan skuad kebangsaan.

"Kami mengambil dari sudut positif segala teguran dan cadangan tersebut akan kami perhalusi sebaiknya demi kebaikan semua pihak terutama dalam pengurusan bola sepak negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Tunku Ismail mendedahkan punca skuad Harimau Malaya gagal di Piala AFF adalah kerana badan induk bola sepak negara itu tidak menepati perancangan asal untuk menghantar skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) apabila sebaliknya pada saat akhir mengubah kepada skuad senior.

Faktor itu menyebabkan kebanyakan pemain senior keliru dan terpaksa mengubah jadual cuti hujung tahun untuk menyertai skuad negara selain beberapa tonggak seperti Mohamadou Sumareh yang terpaksa menolak panggilan itu atas alasan untuk berjumpa keluarganya di Gambia selepas hampir tiga tahun tidak pulang ke sana.

Malah, kegagalan komunikasi daripada Jabatan Media FAM yang tidak telus dalam menyampaikan maklumat berhubung status pemain yang tidak dipanggil turut menambahkan lagi masalah hingga menimbulkan persepsi tidak baik dikalangan penyokong.

Akhirnya, beliau dijadikan bahan sasaran segelintir netizen berhubung isu pelepasan pemain, sekali gus Tunku Ismail menganggap beliaulah sebenarnya mangsa keadaan, ataupun dijadikan kambing hitam.

Ketika ditanya mengenai perubahan keputusan menghantar skuad B-23 kepada skuad senior serta isu kambing hitam, Hamidin hanya mahu mengambil setiap teguran Tunku Ismail untuk memperbaiki kelemahan yang timbul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 10:00 PM