Syazwan Msar


Kelana Jaya: Skuad Harimau Malaya mendapat tonik tambahan sebelum menentang Thailand, Sabtu ini, apabila pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan melawat sesi latihan pasukan kebangsaan, petang ini.

Tunku Ismail yang tiba di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 5.45 petang meluangkan masa lebih setengah jam 'memantau' sesi latihan skuad Harimau Malaya sebagai persiapan untuk mengharungi saingan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Ketibaan beliau disambut barisan kepimpinan FAM diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum dibawa ke bangunan pentadbiran badan induk bola sepak negara itu untuk sesi taklimat.

Turut hadir mengiringi Tunku Ismail adalah Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

Skuad Harimau Malaya berjaya melepasi halangan peringkat Kumpulan B selepas membelasah Singapura 4-1, Selasa lalu, sekali gus menebus kegagalan edisi lalu apabila terkandas di pusingan awal.

FOTO Ihsan Facebook HRH Crown Prince of Johor
FOTO Ihsan Facebook HRH Crown Prince of Johor

Dalam perlawanan terbabit, Harimau Malaya meraih jaringan menerusi Darren Lok pada minit ke-35, Stuart Wilkin (m-51 dan 54) dan Sergio Aguero (m-88), sementara Singapura pula membawa pulang gol saguhati melalui sentuhan Faris Ramli di minit ke-85.

Kemenangan ke atas Singapura itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan B di tangga kedua, sekali gus bertemu juara Kumpulan A, Thailand di separuh akhir yang diadakan secara timbal balik pada Sabtu ini dan Selasa depan.

Indonesia pula selaku naib juara Kumpulan A akan menerima kunjungan Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 7:32 PM