HARIMAU Malaya bakal menyertai Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia 2023.
HARIMAU Malaya bakal menyertai Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia 2023.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya dijangka berwajah baharu menjelang saingan Piala AFF Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2023 Februari depan apabila kriteria pemilihan pemain berdasarkan minit permainan dan prestasi semasa.

Itu hasil mesyuarat kedua Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021-2025 yang berlangsung secara maya hari ini apabila memutuskan untuk barisan kejurulatihan Harimau Malaya memperluaskan pencarian pemain.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan itu turut mengambil kira cadangan pelbagai pihak termasuk mantan presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu prestasi skuad negara kembali menyinar di pentas antarabangsa.

"Saya ingin menambah sedikit tentang isu ini kerana saya memahami perkara ini timbul selepas kegagalan kita tewas di tangan Vietnam (Kelayakan Piala Dunia 2022 di UAE Jun lalu. Kalau kita lihat di dalam perbincangan itu, Tunku selaku mantan presiden menyatakan betapa pentingnya pemilihan pemain yang kita buat.

"Bahagian teknikal perlu memikirkan pemain yang berada di negeri lain dan juga melihat minit permainan yang dipilih. Jadi ada banyak yang saya sudah bincangkan dengan Exco dan akan ada perubahan pada panggilan skuad kebangsaan akan datang," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Sebelum ini, FAM dikritik hebat susulan aksi longlai pemain dalam Kelayakan Piala Dunia 2022 di UAE apabila tewas dua daripada tiga aksi Kumpulan G sekali gus gagal meraih slot ke pusingan berikutnya.

Beliau berkata, pengurusan skuad kebangsaan akan terus kekal di bawah FAM selepas timbul hasrat Tunku Ismail yang mahu mengambil alih pasukan negara susulan kegagalan di UAE itu. "Saya sudah berjumpa Yang Amat Mulia Duli Tunku Johor selepas saya balik dari UAE dan kita capai kata sepakat skuad kebangsaan di bawah FAM. Dalam pertemuan yang panjang itu, saya memahami apa perasaannya apabila menyatakan (mahu menguruskan skuad negara), tetapi cukup saya nyatakan perkara itu dah selesai, dan FAM akan terus mengendalikan pasukan kebangsaan.

"Duli Yang Amat Mulia akan terus memberi sokongan seperti pemain yang kebanyakan datang dari JDT...dan kekal sebagaimana biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 9:21 PM