SYIHAN Hazmi memburu tempat dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan musim depan. FOTO Ihsan Syihan Hazmi
SYIHAN Hazmi memburu tempat dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan musim depan. FOTO Ihsan Syihan Hazmi
Mohd Amin Jalil


Seremban: Memburu tempat dalam kesebelasan utama pasukan menjadi misi utama penjaga gol baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selepas ketiadaan Damien Lim yang berhijrah ke Sabah FC, Syihan Hazmi, 25, dijangka akan bersaing sengit dengan Muhaimin Mohamad dan Kaharuddin Abdul Rahman untuk mendapatkan posisi itu.

"Memang itu harapan utama saya untuk dapat balik peluang bermain dalam kesebelasan utama sebab musim ini agak bergelut apabila bersaing dengan Kalamullah Al-Hafiz dalam pasukan PJ City FC.

"Tapi saya datang ke Negeri Sembilan bukan bermakna saya sudah selesa sebab perlu bersaing sengit dengan pemain lain juga, jadi saya kena bekerja keras untuk mendapatkan tempat.

"Apapun, saya gembira sepanjang bersama PJ City untuk musim ini dan tidak sabar untuk mulakan misi baru bersama Negeri Sembilan," ujarnya.

Musim ini, Negeri Sembilan mempertaruhkan Damien Lim selaku penjaga benteng terakhir pasukan dan berjaya memainkan peranan sehingga membantu skuad berkenaan menjulang kejuaraan Liga Perdana.

Syihan Hazmi yang juga anak kelahiran Kelantan dan pernah beraksi bersama skuad Hobin Jang Hobin pada 2018-2019 berharap mendapat tempat yang baik dalam pasukan baharunya itu.

Bekas pemain Skuad Bawah 23 Tahun negara itu akui pentingnya setiap pemain mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Dia juga teruja untuk kembali mencipta nama bersama pasukan bimbingan K Devan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super.

Menurutnya, menjadi sasarannya untuk membantu Negeri Sembilan bersaing sengit di pentas saingan berprestij itu selepas pasukan berkenaan muncul juara Liga Perdana musim ini.

"Dengan kehadiran beberapa pemain baharu lain, dijangka akan memberi impak berbeza dan positif kepada Negeri Sembilan dalam misi mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 5:26 PM