TAUFFIQ ambil alih tugas Syihan musim ini.
TAUFFIQ ambil alih tugas Syihan musim ini.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penjaga gol terbaharu Negeri Sembilan FC (NSFC) Tauffiq Ar Rasyid Johar berazam membina karakter terbaik bersama pasukan itu musim ini sekali gus mengambil alih posisi Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang sudah berpindah ke pasukan lain.

Bekas penjaga gawang Sarawak United berusia 27 tahun itu berkata, dia berharap dapat mempamerkan prestasi terbaik sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini sekali gus membantu pasukan baharunya melakar kejayaan cemerlang.

"Saya bukan sekadar ingin mendapatkan minit permainan yang baik bersama Negeri Sembilan, tetapi mahu memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan ini dan membalas kepercayaan diberikan pihak pengurusan kelab yang sudi menerima saya sebagai sebahagian anggota pasukan.

"Beraksi sebagai penjaga gol utama sememangnya menjadi impian, namun saya perlu bekerja keras kerana terpaksa bersaing dengan pemain lain iaitu Mohd Muhaimin (Mohamad) dan Mohd Kaharuddin (Abdul Rahman).

"Apapun, sasaran utama saya untuk menjayakan misi pasukan di pentas saingan musim ini dengan kejayaan sekurang-kurangnya merangkul satu piala dan berada pada kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super," katanya di sini, hari ini.

Tauffiq Ar Rasyid yang menandatangani kontrak semusim bersama skuad Hobin Jang Hobin memulakan kerjaya bersama PKNS FC bermula 2017 hingga 2019 sebelum berpindah ke Selangor FC sehingga 2021.

Musim lalu, pemain kelahiran Selangor ini beraksi bersama Sarawak namun dengan kedudukan pasukan itu yang beraksi di Liga M3, mendorong pemain berpengalaman ini menjadi pasukan baharu.

Menurut Tauffiq, dia mahu menggunakan peluang terbaik beraksi bersama Negeri Sembilan bagi meletakkan dirinya selaku penjaga gawang yang dihormati di pentas liga tempatan.

Dia percaya melalui bimbingan K Devan dan barisan jurulatih sedia ada serta kerjasama rakan-rakan lain yang lebih berpengalaman, mampu membantunya dalam merealisasikan impian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 1:09 PM