AHMAD Syihan Hazmi ketika aksi persahabatan menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini. FOTO Ihsan NSFC
AHMAD Syihan Hazmi ketika aksi persahabatan menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas lebih sebulan menjalani latihan, penjaga gol baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, melahirkan keyakinan terhadap kemajuan prestasi dimilikinya walaupun belum ada jaminan untuk bergelar sebagai penjaga gol utama.

Pemain berusia 25 itu akui selain barisan jurulatih diketuai K Devan, rakan-rakannya dalam skuad Hobin Jang Hobin, banyak membantunya dalam usaha meningkatkan lagi skil persembahan.

"Dari segi puas hati, memang belum lagi setakat ini kerana banyak perkara yang perlu dipelajari dan dilakukan untuk meningkatkan lagi tahap prestasi.

"Bagaimanapun, banyak kemajuan yang dirasakan dicapai setakat ini, hasil bimbingan jurulatih dan rakan-rakan dalam pasukan.

"Fokus saya adalah bergelar penjaga gol utama Negeri Sembilan musim ini, namun saya sedar kedudukan itu bukan suatu jaminan kecuali kita dapat memperagakan aksi mantap dan tahap persembahan yang tinggi," katanya di sini, hari ini.

Begitu pun, Syihan Hazmi bertambah yakin dengan kemampuannya untuk menggalas tugas dan tanggungjawab bagi menjulang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut pemain kelahiran Kelantan itu, pengalaman beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City FC di pentas saingan berprestij itu sebelum ini, turut membantunya dalam melakukan persiapan lebih sempurna kali ini.

Malah katanya, menerusi perlawanan persahabatan yang diaturkan oleh kelab, ia jelas dapat memberikan keyakinan diri yang tinggi, walaupun terdapat keputusan perlawanan itu tidak memihak kepada Negeri Sembilan.

"Saya berharap dapat memberikan sumbangan lebih bermakna bersama Negeri Sembilan musim ini selepas tidak dapat melakukannya pada 2018-2019.

"Saya percaya kehadiran pemain import yang berpengalaman termasuk yang memiliki rekod baik di pentas Liga Malaysia seperti Herold Goulon dan Matheus Alves, kami boleh bersaing dengan baik dalam Liga Super musim ini," kata bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun negara itu.

Peluang Syihan Hazmi untuk mendapat tempat selaku penjaga gol utama skuad Rusa dilihat cerah berdasarkan kemampuannya mengawal gawang, walaupun dia perlu bersaing dengan Muhaimin Mohamad dan Kaharuddin Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 6:20 PM