SERBEGETH berkata pengurusan FAM perlu buang sikap malu menggunakan khidmat jurulatih daripada Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SERBEGETH berkata pengurusan FAM perlu buang sikap malu menggunakan khidmat jurulatih daripada Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perubahan besar perlu dilakukan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terutama berani mengambil inisiatif menggunakan tenaga pakar luar negara untuk melatih skuad Harimau Malaya.

Perkara itu ditekankan Penganalisis bola sepak tanah air, Serbegeth Singh yang melihat ketika ini skuad Harimau Malaya seperti 'kehilangan' sesuatu sekali gus gagal beraksi cemerlang di peringkat Asia Tenggara.

Beliau berkata, skuad Harimau Malaya sudah berada di 'penghujung' pengembaraan sekali gus memerlukan perubahan membabitkan struktur kejurulatihan dan juga barisan pemain.

Katanya, pengurusan FAM juga perlu buang sikap malu menggunakan khidmat jurulatih daripada negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan yang jelas mampu membawa kejayaan apabila melatih skuad kebangsaan.

"Pada pendapat saya adalah seperti penghujung sesuatu, mungkin kepada barisan kejurulatihan, pihak FAM atau pemain. Pengakhiran kepada sesuatu kerana kegagalan hingga sekarang ini ada perasaan marah, sedih dan terkedu apabila skuad Harimau Malaya tewas.

"Saya rasa sudah tiba masanya mencari jurulatih luar negara yang berwibawa iaitu FAM tidak malu ambil pengendali dari Jepun atau Korea Selatan.

"Ada beberapa aspek merangkumi teknikal mampu diterapkan dalam skuad Harimau Malaya kerana mereka ini mempunyai matlamat untuk setiap pasukan yang akan dipimpin nanti.

"Paling penting adalah mereka ini tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam pemilihan pemain dan bersifat neutral," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan impian skuad Harimau Malaya untuk mengulangi pencapaian tiga tahun lalu mara ke pentas final akhirnya berkecai selepas gagal melepasi peringkat kumpulan apabila tumbang 1-4 di tangan Indonesia di Stadium Nasional Singapura.

Malaysia yang memerlukan tiga mata penuh untuk mara ke separuh akhir dari Kumpulan B gagal menandingi kepantasan pemain-pemain Indonesia yang ditunjangi kebanyakannya pemain muda di bawah kendalian Shin Tae Yong dari Korea Selatan.

Malah, kekalahan itu juga menamatkan rekod dua kemenangan skuad negara ke atas Indonesia sejak 2019 selepas Malaysia menang 3-2 dan 2-0 dalam kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman B Sathianathan, mahu pihak berkaitan melakukan segera bedah siasat dengan melihat semua aspek untuk ditambahbaik.

"Sekarang ini nak salah jurulatih pun tak boleh kerana beliau pilih daripada pemain terbaik di liga kita dan juga beraksi di luar negara.

"Adakah Tan Cheng Hoe (Pengendali Harimau Malaya) mendapat pemain yang beliau inginkan? Sebab pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dua tahun lalu bermain dengan baik namun sekarang ini dilihat tidak cemerlang. Perkara itu perlu dilihat juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 8:01 PM