Kim Pan-gon. FOTO Agensi
Kim Pan-gon. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Kim Pan Gon sebagai pengendali baharu skuad bola sepak kebangsaan.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perlantikan jurulatih berasal dari Korea Selatan itu disebabkan individu berkenaan cukup memahami senario bola sepak tanah air.

Beliau berkata, perlantikan Pan Gon turut disertai dengan pakej beli satu percuma empat apabila beliau turut membawa pembantunya terdiri daripada pegawai analisis dan kecergasan, pembantu jurulatih dan jurulatih teknikal.

Katanya, jurulatih berkenaan ditawarkan kontrak dua tahun dan akan dilanjutkan lagi jika FAM berpuas hati dengan prestasi skuad kebangsaan kelak.

"FAM menerima banyak permohonan daripada seluruh dunia dan mengenai calon ini kita melihat beberapa kategori sebelum individu berkenaan dipilih.

"Sudah pastinya, individu berkenaan memahami bola sepak kita terutamanya pemain dan pernah mengendalikan skuad kebangsaan.

"Kalau kita berpuas hati akan lanjutan dua tahun lagi dan beliau akan datang ke sini pada pertengahan Februari untuk melihat aksi Liga Malaysia," katanya, dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal pertama 2021-2025, hari ini.

Sebelum ini terdapat empat jurulatih dari Korea Selatan yang berada dalam senarai pendek FAM bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

Empat nama yang dimaksudkan ialah Kim Pan Gon yang ketika ini beliau memegang jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Penyeliaan skuad kebangsaan Korea Selatan.

Selain Kim Hak Bum yang juga adalah bekas ketua jurulatih skuad B-23 Tahun Korea Selatan manakala dua lagi nama membabitkan Park Jin Seop dan Kim Byung Soo.

Kerusi ketua jurulatih Harimau Malaya kosong selepas Tan Cheng Hoe meletak jawatan berikutan pasukan negara gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020.

Malaysia mencatat dua kemenangan awal iaitu ketika menentang Kemboja dan Laos namun tewas pada dua aksi seterusnya di tangan Vietnam dan Indonesia sekali gus gagal untuk menepati sasaran mara ke perlawanan akhir seperti yang telah ditetapkan.

Sementara itu, pemilihan jurulatih dari Korea Selatan itu bukanlah tiada pendirian hingga FAM mengikut trend jurulatih 'K-pop' seperti dilakukan pasukan Vietnam dan Indonesia.

"Pengambilan jurulatih Korea Selatan adalah berdasarkan kepada kajian kita sendiri kerana pada ketika ini apa yang terbaik untuk pasukan kebangsaan, itulah yang FAM pilih," katanya.

Pan Gon berpengalaman mengendalikan beberapa pasukan Liga Korea selain adalah Ketua Jurulatih buat pasukan kebangsaan Hong Kong pada tahun 2009 – 2010 dan 2012 – 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 2:45 PM