KEPIMPINAN FAM dijangka membuat pengumuman berkaitan perkara itu hari ini.
KEPIMPINAN FAM dijangka membuat pengumuman berkaitan perkara itu hari ini.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Teka-teki siapa yang akan menduduki kerusi panas selaku pengendali Harimau Malaya hanya terlerai apabila barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka membuat pengumuman berkaitan perkara itu hari ini.

Bagaimanapun, menurut sumber badan induk bola sepak negara itu, individu yang bakal mengisi kekosongan jawatan itu dari Korea Selatan.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini terdapat desas-desus individu dari Australia dan Jepun turut berada dalam radar FAM namun, pengendali dari Korea Selatan lebih memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak negara itu.

"Bukan dari Australia atau Jepun. Individu berkenaan dari Korea Selatan. FAM sudah melakukan perbincangan lanjut bersama individu terbabit dan pengumuman akan dilakukan pada esok (hari ini)," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, ada empat jurulatih dari Korea Selatan yang berada dalam senarai pendek FAM bagi menggantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan negara.

Empat nama dimaksudkan ialah Kim Pan-goh yang ketika ini memegang jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Penyeliaan skuad kebangsaan Korea Selatan.

Seterusnya Kim Hak-bum yang juga bekas ketua jurulatih skuad B-23 tahun Korea Selatan.

Dua lagi nama ialah Park Jin-seop dan Kim Byung-soo.

Namun, baru-baru ini terdapat perkhabaran bahawa FAM turut meneliti individu dari Australia dan Jepun bagi mengendalikan skuad Harimau Malaya kelak.

Kerusi ketua jurulatih Harimau Malaya kosong selepas Cheng Hoe meletak jawatan berikutan pasukan negara gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020.

Malaysia mencatat dua kemenangan awal iaitu ketika menentang Kemboja dan Laos, namun tewas pada dua aksi seterusnya di tangan Vietnam dan Indonesia, sekali gus gagal untuk menepati sasaran mara ke perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:01 AM