PEMAIN Harimau Malaya meraikan jaringan Arif Aiman Hanapi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
PEMAIN Harimau Malaya meraikan jaringan Arif Aiman Hanapi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Siapa yang tidak terpukau dengan kebangkitan dramatik Harimau Malaya apabila berjaya mengikat pasukan yang berada di ranking 23 dunia iaitu Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir kumpulan E Piala Asia, malam tadi.

Hal ini kerana, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) juga terpana dengan corak permainan skuad kendalian Kim Pan-gon apabila mampu memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan.

Fifa dilihat meninggalkan komen di ciapan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika perlawanan berakhir malam tadi.

"Perlawanan yang hebat sekali!", tulis FIFA di ruangan komen di laman X Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam aksi di Stadium Al Janoub itu, pemain negara mencipta sensasi di bumi Qatar apabila mengikat Korea Selatan.

Malaysia yang tumbang dalam dua aksi awal sebelum ini tampil lebih bertenaga sepanjang 90 minit permainan di mana pada satu ketika anak buah Pan-gon berjaya mendahului dengan 2-1.

Reputasi skuad Taegeuk Warriors selaku pasukan Piala Dunia serta berada di kedudukan ranking ke-23 dunia tidak menggentarkan pemain negara yang tetap berjuang hingga wisel penamat sebelum Romel Morales muncul penyelamat dengan gol ketiga di masa kecederaan.

Kejayaan mengikat Korea Selatan ini sekurang-kurangnya mengubat duka kem negara untuk membawa pulang satu mata daripada edisi ke-18 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 1:13 PM