GALLAGHER (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
GALLAGHER (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Crystal Palace, Patrick Vieira memuji Conor Gallagher selepas dua gol yang dijaringkan memberi inspirasi kemenangan ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain yang dipinjamkan dari Chelsea itu meledak jaringan pada minit ke-41 dan mengesahkan kemenangan melalui gol kedua peribadi pada masa kecederaan hasil rembatan lencong 23 meter.

Ia menamatkan rekod kekalahan tiga kali berturut-turut The Eagles dan Gallagher menjadi kunci kejayaan bagi meneruskan penampilan cemerlangnya di Selhurst Park, yang tidak diganggu dengan penampilan sulung bersama England bulan lalu.

"Saya tidak terkejut langsung dan Conor bukan seorang pemain yang sentiasa sibuk.

"Dia mahu mempertingkatkan permainannya, dia sangat merendah diri, bekerja keras dan mencabar dirinya untuk kekal pada tahap bagi memenuhi kemahuannya.

"Hari ini, dia sangat luar biasa dan saya rasa apabila pasukan bermain pada tahap ini, ia membolehkannya dan beberapa lagi pemain membuktikan kemampuan mereka," kata Vieira.

Everton mengalami kekalahan ketujuh dalam sembilan perlawanan terakhir mereka walaupun berjaya menjaringkan gol melalui Salomon Rondon pada separuh masa kedua, mereka gagal mengulangi aksi ketika menang 2-1 ke atas Arsenal Selasa lalu.

Keputusan Rafael Benitez untuk membawa keluar Richarlison pada minit ke-57, dikecam oleh penyokong yang berkunjung ke tempat lawan namun beliau mengakui terpaksa melakukan tindakan berkenaan kerana bintang Brazil itu mengalami kecederaan betis.

"Apabila anda kecewa kerana pasukan tidak bermain dengan baik, anda boleh jadi sangat emosional dan memberi reaksi namun realitinya kami melakukan pertukaran kerana ia tindakan yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 1:50 PM