Pemain tengah Crystal Palace, Conor Gallagher berpeluang beraksi dengan skuad senior. FOTO Agensi
Pemain tengah Crystal Palace, Conor Gallagher berpeluang beraksi dengan skuad senior. FOTO Agensi
AFP

London: Pemain tengah Crystal Palace, Conor Gallagher tersenarai dalam skuad England bagi aksi kelayakan Piala Dunia di San Marino selepas Jordan Henderson, Jack Grealish, Raheem Sterling, Mason Mount dan Luke Shaw tidak dapat beraksi.

Skuad Three Lions hanya perlu mengelak daripada tewas berdepan pasukan kerdil di Serravalle itu untuk memastikan tempat mereka pada kejohanan dekat Qatar tahun depan.

Kapten Liverpool, Henderson dan pemain Manchester City, Grealish kembali ke kelab mereka untuk menjalani rawatan lanjut kerana kecederaan.

Penyerang City, Sterling tidak dapat beraksi kerana hal peribadi, sementara pemain tengah Chelsea, Mount perlu menjalani pembedahan gigi dan pertahanan kiri Manchester United, Shaw mengikuti protokol kesihatan.

Gallagher beraksi bersama skuad bawah 21 tahun sebelum disenaraikan buat pertama kali dalam skuad senior.

Aksi pemain berusia 21 tahun itu menarik perhatian bersama Palace musim ini. Dia menjaringkan empat gol buat skuad kendalian Patrick Vieira.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 8:48 PM