Skuad Harimau Malaya berlepas ke Singapura bagi kejohanan AFF di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Skuad Harimau Malaya berlepas ke Singapura bagi kejohanan AFF di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Firdaus Hashim


Sepang: Kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa menyaksikan tonggak tengah Kedah Darul Aman FC, Fayadh Zulkifli terpaksa melupakan impian beraksi di Piala AFF kali ini.

Ia susulan pengumuman terakhir 24 pemain yang di bawa ke Singapura menyaksikan nama Fayadh tercicir sekali gus kempunan untuk beraksi di Piala AFF edisi ke-13 itu.

Bagaimanapun, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berharap pemain lincah itu tidak berputus asa dengan peluang untuk menyertai skuad Harimau Malaya masih terbuka buatnya selepas ini.

"Kita tidak panggil (tidak di bawa ke Singapura) Fayadh Zulkifli pada kali ini kerana kita tahu dia masih lagi mempunyai perjalanan yang jauh, dan kita harap pada masa akan datang nanti dia dapat memberi persembahan terbaik di pentas Liga Malaysia dan pintu sentiasa terbuka untuk Fayyadh bersama skuad kebangsaan.

"Apa yang penting, 24 pemain yang dipilih ini saya rasa adalah yang terbaik dan kita mengharapkan kerjasama berpasukan, dapat memberi kita satu penanda aras terbaik buat skuad kebangsaan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Skuad negara berangkat ke Singapura dengan 24 pemain dan beberapa pegawai pasukan yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Changi pada jam 12 tengahari ini selepas berlepas dari KLIA jam 11 pagi tadi.

Setibanya di Lapangan Terbang Changi, pemain negara akan menjalani ujian 'sweb test' Covid-19 sebelum dibenarkan ke hotel penginapan pasukan bagi dikuarantin di bilik masing-masing.

Keputusan ujian Covid-19 itu dijangka hanya mengambil masa tiga ke empat jam dan sekiranya negatif, skuad negara dijadual berlatih seawal malam ini ataupun esok.

Malaysia yang hadir dengan status selaku naib juara edisi lalu, diletakkan dalam Kumpulan B bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Indonesia.

Aksi pertama skuad negara adalah berdepan Kemboja Isnin ini di Stadium Bishan sebelum bertemu tiga lagi pencabar lain untuk merebut dua kedudukan teratas kumpulan itu sekali gus mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 5:25 PM