CHENG Hoe berkata Malaysia tidak memiliki persiapan sebaik Indonesia dan Vietnam. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG Hoe berkata Malaysia tidak memiliki persiapan sebaik Indonesia dan Vietnam. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Singapura: Pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengakui tempoh latihan singkat antara punca mengapa skuad Harimau Malaya gagal menyerlah dalam kempen Piala AFF edisi ke-13 yang berlangsung di sini, kali ini.

Jelasnya, berbanding pasukan lain, beberapa negara melakukan latihan cukup rapi dan tersusun sebelum kejohanan bermula.

Antaranya Indonesia yang melakukan persiapan di Turki selain Singapura, Vietnam dan Thailand menjalani latihan hampir sebulan.

Lantas tidak hairanlah mengapa empat pasukan terbabit berjaya layak ke separuh akhir berbanding skuad negara yang terkandas di peringkat kumpulan B.

"Sayangnya kami (Malaysia) tidak memiliki persiapan sebaik mereka (pasukan Indonesia dan Vietnam) yang berguna menghadapi sukarnya pertandingan di Piala AFF 2020," kata Cheng Hoe.

Untuk rekod, pasukan negara sebenarnya melakukan persiapan ala kadar apabila hanya mampu mengumpulkan 20 pemain dua hari sebelum terbang ke Singapura.

Baki empat lagi pemain yang berpangkalan pula hanya menyertai pasukan di Singapura bagi mengelak di kuarantin sekali gus akan mengganggu perancangan pasukan.

Namun nasib malang terus menimpa pasukan apabila beberapa pemain pula disahkan positif Covid-19 sebaik tiba di Kota Singa yang terus memberi kesan negatif kepada motivasi pemain.

Bagaimanapun menurut Cheng Hoe, beliau memuji komitmen dan kesungguhan pemain yang sudah memberikan aksi terbaik sepanjang saingan itu berlangsung.

"Pemain-pemain sudah berikan yang terbaik tetapi kita belum cukup bersedia untuk menghadapi kejohanan ini.

"Pemain kena gel together dan berlatih bersama untuk mendapatkan keserasian dan prestasi terbaik sebelum ke sini. Apapun kita fokus ke depan dan lihat kelemahan yang boleh dibaiki," katanya.

Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan selepas hanya meraih enam mata daripada dua kemenangan dan tewas dua kali.

Ia sekali gus meranapkan impian untuk layak ke final buat kali kedua berturut-turut selepas pada edisi lalu skuad kendalian Cheng Hoe tumpas 2-3 secara agregat di tangan Vietnam di final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 5:25 PM